TIADA kata yang mampu
membayangkan kekecewaan atlet penembak negara, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim
apabila namanya terpaksa digugurkan daripada skuad penembak negara untuk
temasya Sukan Komanwel di Glaslow, Scotland, semalam.
Ia gara-gara beg jaketnya tidak
tiba bersama beg-beg lain selepas penerbangan mereka mendarat di Glaslow pada
17 Julai lalu, dipercayai masih berada di London.
“Dia sangat kecewa dan sedih…kami
semua sedih.
“Kami sudah membuat laporan
begnya tidak tiba bersama beg lain. Kami menunggu tiga hari…hari ini hari
terakhir untuk mendaftarkan nama mereka.
“Peraturan sangat jelas
mengatakan penembak rifle mesti memakai jaket.
“Kami cuba memimjam jaket lain,
namun ia tidak sesuai. Untuk membuat jaket baru, Nur Ayuni berkata dia perlukan
dua bulan untuk membiasakan diri dengannya,” ujar pengurus skuad, Datuk Musa
Omar.
Nur Ayuni merupakan pemenang
pingat emas bersama pasangannya, Nur Suryani menerusi acara 10m air rifle pada
kejohanan Sukan Komanwel 2010 yang lalu.
“Sekarang dia langsung tidak
berpeluang untuk meneruskannya. Ia sangat menyakitkan buatnya…saya turut
bersimpati,” tambahnya.
Musa memaklumkan nama Nur Ayuni
telah digantikan dengan Muslifah Zulkifli untuk acara 10m air rifle.
Sumber : MyNewsHub.My