PETALING JAYA – Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad terkejut
dengan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap
beliau ekoran tindakannya mempersoalkan kuasa eksekutif Majlis Agama
Islam Selangor (Mais) dan mencadangkan supaya ia dihapuskan.
Beliau yang akur dengan teguran dan titah Sultan Selangor,
bagaimanapun berharap untuk menghadap baginda bagi memberi penjelasan.
“Pada dasarnya, saya memang terkejut sebaik sahaja mendapat tahu
daripada media ketika waktu berbuka puasa semalam (Selasa), tetapi saya
terima (teguran).
“Saya berharap dapat menghadap Sultan Selangor untuk memberi
penjelasan secara peribadi supaya baginda memahami tentang konteks
kenyataan saya.
“Saya akan membuat draf surat permohonan untuk menghadap Sultan
Selangor hari ini dan akan menghantarnya selewat-lewatnya esok pagi,”
katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.
Sultan Sharafuddin pada Selasa melahirkan kemurkaan baginda terhadap
Khalid yang sebelum ini mendesak supaya Mais tidak lagi diberi kuasa
dalam menjaga kedaulatan agama Islam di negeri itu.
Menyifatkan wakil rakyat PAS itu sebagai biadap, baginda bertitah
supaya Khalid yang bukan berasal dari Selangor supaya memahami sejarah
negeri dan mendalami undang-undang yang terpakai di Selangor terutama
Undang-undang Tubuh Kerajaan dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri
Selangor.
Menurut Khalid, beliau akan mengadakan sidang media pada Khamis bagi memberi komen dan penjelasan berhubung isu berkenaan.
“Saya akan mengadakan sidang media esok untuk memberi penjelasan
secara umum memandangkan isu (kemurkaan Sultan Selangor) telah tersebar
meluas.
“Pada masa sama, saya tetap mahu menghadap baginda Sultan Selangor
untuk memberi penjelasan bagi pihak saya… saya amat berharap (dapat
menghadap dalam masa terdekat),” katanya mengenai sidang media yang
dijadualkan pada kira-kira pukul 2 petang, Khamis di pejabatnya di Shah
Alam.
Kemurkaan Sultan Selangor itu dizahirkan berikutan kenyataan Khalid
pada 17 Jun lalu yang menggesa Kerajaan Selangor supaya menghapuskan
kuasa eksekutif Mais.
Bercakap pada sidang media di bangunan Parlimen Jun lalu, Khalid
dengan lantang mencadangkan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat
supaya melakukan pindaan terhadap enakmen yang memberi kuasa eksekutif
kepada Mais. – mStar Online