Sultan Selangor Murka Tindakan Khalid Samad Persoal MAIS


Sepang, 16 Julai – Tindakan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang terus mempersoalkan peranan Majlis Agama Negeri Selangor (MAIS) dan mahu kerajaan Pakatan Rakyat (PKR) Selangor menghapuskan kuasa MAIS baru-baru ini telah menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, apa yang cuba dilakukan Khalid adalah satu tindakan yang biadap kerana menentang kuasa baginda sebagai Ketua Agama Islam Negeri apabila dia terus mempersoalkan kuasa MAIS.

Baginda turut menyifatkan wakil rakyat Pas itu tidak mengetahui peranan MAIS yang telah diwujudkan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor sebagai penasihat dalam membantu baginda menjalankan kuasa sebagai Ketua Agama Islam di Selangor.

.Kemurkaan serta kekecewaan terhadap kenyataan Khalid itu diluahkan secara terbuka oleh baginda menerusi titahnya di Majlis Perasmian Masjid Pekan Sepang kelmarin.

Titah baginda, Ahli Parlimen Shah Alam itu sepatutnya mengambil tahu sejarah Negeri Selangor serta mendalami undang-undang yang digunakan dalam negeri ini terutamanya Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangaor dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri kerana dia telah diberi peluang menjadi Ahli Parlimen Shah Alam walaupun bukan anak jati negeri Selangor.

Menurut baginda, tindakan Khalid mempersoalkan kuasa eksekutif MAIS bukanlah kali pertama dilakukan malah dia pernah berkali-kali mengkritik Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor sebagai sudah lapuk.

“Oleh itu Beta menyeru kepada Khalid Samad agar di masa akan datang beliau berwaspada di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan jangan menunjukkan sikap biadap dan jahil beliau apabila membicarakan isu berkaitan dengan kuasa Beta dan peranan MAIS di dalam menasihati Beta mengenai agama Islam,” titahnya.

Selain itu,baginda turut menegaskan MAIS sentiasa bersikap terbuka terhadap penganut agama lain di Selangor dalam mengamalkan adat budaya agama mereka.

“MAIS sentiasa menghormati orang bukan Islam di dalam amalan agama mereka seperti yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan,”

“Segala tindakan yang dilakukan oleh MAIS dan JAIS adalah bagi memelihara kesucian agama Islam tanpa menganggu penganut agama lain di dalam menganut agama mereka,” titahnya.

Sementara itu, baginda memberi amaran kepada semua pihak agar tidak menjadikan agama Islam sebagai modal untuk berpolitik dan mahu rakyat menjaga kesucian agama Islam.

“Sebagai orang politik seharusnya mereka lebih bertanggungjawab di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan bagi memastikan kesucian agama Islam dan perpaduan umat Islam di negara ini,” titah baginda.

 Dalam kenyataan Khalid pada 18 Jun lalu, dia mempersoalkan kuasa eksekutif MAIS dan mahu peranan MAIS dihapuskan oleh kerajaan PKR Selangor ekoran rampasan bible bahasa Malaysia milik Persekutuan Bible Malaysia oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana menggunakan kalimah Allah.

Tindakan Khalid yang lantang mengritik MAIS serta mencadangkan peranannya sebagai penasihat Sultan Selangor dikurangkan kerana tidak berpuas hati dengan sikap tegas majlis agama itu tidak mahu memulangkan semua bible yang dirampas walaupun Jabatan Peguam Negara mengarahkan kes itu ditutup. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor