Suraya Tambah 5 Lagi Pasar Tani Bantu Ekonomi Rakyat Kedah



ALOR SETAR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bakal menambah pasar tani di lima daerah di negeri ini menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian, Asas Tani dan Pembangunan Usahawan Datuk Suraya Yaakob berkata lima daerah berkenaan ialah Alor Setar, Pendang, Padang Terap, Kulim dan Kubang Pasu.

“Kita ingin pastikan setiap daerah mempunyai sekurang-kurangnya satu pasar tani dan sehingga kini kita sudah ada 18 pasar tani di seluruh Kedah yang beroperasi 40 kali setiap minggu.

“Lima pasar tani baharu ini akan mula beroperasi apabila majlis daerah dapat menyediakan tempat yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pasar Tani Khas PraSyawal di Pasar Tani Taman Wira di sini, Rabu.

Beliau berkata proses pembinaan Pasar Komuniti dan Karavan (Pakar) di Kuala Kedah juga berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

“Pembinaan Pakar yang melibatkan kos RM3.4 juta ini akan beroperasi 24 jam melibatkan tiga giliran iaitu pada waktu pagi, petang dan malam dan peniaga tidak perlu lagi menggunakan khemah untuk berniaga.

“Kita juga bakal melancarkan pasar tani di perkarangan Masjid Al-Taufik, Air Merah, Kulim pada bulan September ini. Selepas ini orang ramai dapat membeli barang yang dijual dengan harga lebih rendah,” katanya.

Sempena Aidilfitri ini, 15 lokasi pasar tani di seluruh Kedah akan menjalankan program Pasar Tani PraSyawal yang menjual barangan pada kadar lima hingga 20 peratus lebih murah. – BERNAMA