KANGAR – Umat Islam yang menziarahi tanah perkuburan sempena
Aidilfitri diingatkan supaya tidak menabur bunga di kuburan kerana ia
amalan Yahudi dan Kristian.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah
Jabatan Agama Islam Kedah, Sheikh Ahmad Faisol Omar berkata perbuatan
itu menyalahi ajaran Islam.
Beliau mengingatkan demikian dalam tazkirahnya pada Program
Percambahan Ilmu anjuran bersama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam
Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bahagian Perlis, Pejabat Setiausaha Kerajaan
Perlis dan Hotel Putra Palace di sini, hari ini.
Beliau seterusnya mengingatkan umat Islam agar banyak mengisi masa
bulan Ramadan dengan membaca Al-Quran untuk memperolehi ketenangan dan
benteng menahan nafsu dan godaan iblis.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan kaum wanita Islam supaya menjaga
adab berpakaian terutama pada Ramadan yang penuh dengan cabaran dan
godaan.
“Mereka sepatutnya berpakaian sopan, bukan pakai yang menghairahkan,” katanya.
Ahmad Faisol berkata ramai kaum wanita yang diberi nikmat kecantikan
menyalahgunakan nikmat tersebut dengan mempamerkan kecantikan mereka
kepada umum sehingga memberi kesan buruk terhadap diri sendiri.
Program agama itu yang dihadiri lebih 300 kakitangan awam turut
membuat kutipan berjumlah RM964 untuk disumbangkan kepada Tabung
Penderitaan Rakyat Gaza.
Turut hadir pada majlis itu pengerusi Cuepacs Perlis, Md Jamel Khir Ismail. – BERNAMA