Jika PKR berpendapat Presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail sah sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid
Ibrahim, elok tunggu dahulu.
Ini kerana PAS Selangor dan Pusat sebelum ini tidak pernah mencapai
apa-apa persetujuan menggantikan Adun Kajang itu dengan Khalid.
“Kita tak pernah setuju,” itu ditegaskan Pesuruhajaya PAS Selangor,
Iskandar Abdul Samad sebagai mengulas keputusan mesyuarat Majlis
Pimpinan Pusat (MPP) PKR memilih Wan Azizah selepas mengugurkan Khalid.
Menurut Iskandar, PKR perlu menghormati keputusan PAS Selangor dan Pusat sebelum ini yang mahu Khalid dikekalkan.
Untuk rekod, PAS sebelum ini setuju menyokong Langkah Kajang dan PRK
Dun Kajang beberapa bulan lalu asalkan tiada kaitan dengan proses
menggantikan Khalid.
Iskandar yang juga Adun Cempaka dan anggota Exco menjelaskan, menggantikan Khalid dengan Wan Azizah adalah keputusan PKR.
Katanya, segala keputusan pimpinan negeri mengikut pendirian Pakatan
Rakyat (PR) yang akan ditetapkan melalui majlis presiden dalam minggu
ini.
“PKR sepatutnya bertanyakan pendapat kami dahulu,” tegas ketika ditemui media di majlis berbuka puasa di sebuah masjid di Kuang, Selasa.
Sementara itu Khalid menjelaskan, walaupun menghormati keputusan parti, PKR juga perlu mengikuti lunas enakmen negeri jika mahu mengemukakan permohonan untuk pertukaran.
“Kalau diganti, penggantiannya mesti diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Khalid berkata beliau tidak berkecil hati apabila “digantikan” oleh partinya sendiri.
Menteri besar itu berkata beliau hanya bekerja untuk rakyat selagi diperlukan oleh rakyat Selangor.
Menurut Khalid, ini adalah politik dan beliau masuk PKR kerana reformasi.
“Saya juga sangat seronok perkara ini . Boleh jadi tahun akan datang
saya dapat berehat dengan cucu-cucu saya,” kata beliau di majlis sama.
Berdasarkan penjelasan Iskandar, drama PKR untuk menggantikan Khalid
perlu skrip lebih panjang untuk digarap oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.-bnbbc