Tauke Balak Mati Lemas, Cuba Buang Air Kecil Di Sungai Kedah


Alor Setar - Mungkin tidak tahan lagi dan rasa terlalu melepaskan "hajat" membuang air kecil, seorang "tauke" balak mati lemas setelah terjatuh ke dalam Sungai Kedah berhampiran kawasan Pekan Cina, di sini, baru-baru ini.

Mayat Chua Ah Sing yang berusia 60 tahun masih lengkap berbaju merah gelap dan berseluar pendek ketika ditemui lemas dalam sungai berkenaan oleh unit skuba bomba awal pagi semalam.

Menurut anak saudaranya, Lim Ah Kow, 59, Ah Sing sebelum itu dikatakan telah keluar minum bersama rakannya di sebuah kedai makan berhampiran Pekan Cina kira-kira jam 7 petang kelmarin.

"Pakcik dipercayai tergelincir ketika ingin membuang air kecil di tepi sungai.

"Dia sempat menghubungi isterinya kira-kira 7.30 petang sebelum terjatuh.

"Dia bertanya isterinya, Chew Bee See, yang sedang membeli belah bersama isteri saya di sebuah pasar raya dekat sini ketika mahu pulang ke kediaman mereka di Taman Sri Abadi," katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Bagaimanapun, apabila isteri mangsa menghubungi telefon bimbit suaminya semula kira-kira pada jam 8.30 malam, dia tidak menerima sebarang jawapan dari suaminya itu sehingga mncetus rasa risau di hatinya.

Menurut Ah Kow, kehilangan Ah Sing mula disedari rakan-rakan selepas mereka mendapati kereta milik pengusaha balak itu masih ada manakala kasutnya dikesan tertinggal di tepi sungai sekitar lokasi kejadian.

Ah Kow berkata, sememangnya menjadi kebiasaan mangsa yang tidak memiliki anak keluar minum bersama rakan-rakan di situ setiap hari. -KedahNews.com