Seorang pekedai dijatuhi hukuman mati selepas mahkamah
mendapati tertuduh bersalah bersabit kes pembunuhan seorang pelancong Perancis, mendiang Stephanie Foray, 30, yang hilang di sebuah
pulau peranginan. Pulau Tioman, Pahang pada Mei 2011.
Mayat Stephanie telah ditemui kira-kira tiga bulan kemudiaan dalam keadaan separa diawet dan ditanam di dalam sebuah gua di pulau itu.
Mahkamah di Kuantan mendapati Asni Omar, 39, yang mengendalikan kedai
menjual pakaian mandi di pulau itu, bersalah membunuh Foray.
Dalam menyampaikan keputusan itu, hakim Mariana Yahya berkata, pihak
pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah, sambil menambah Asni
telah “melemahkan pembelaannya sendiri” dengan hanya menyampaikan
“cerita yang telah diatur” untuk menafikan kesalahannya.
“Oleh itu saya mendapati defendan bersalah sebagaimana yang dituduh.
Terdapat hanya satu hukuman … iaitu mati dengan digantung,” katanya yang dipetik dari media hari ini.
Selepas hukuman mati dijatuhkan, ibu Foray, Irene Mortel, dilihat bangun sambil melihat Asni dan menangis.
“Saya tidak berharap untuk apa-apa lagi. Itu sahaja … Saya tahu ia
tidak boleh mengubah apa-apa,” katanya sebagai reaksi kepada keputusan
itu sewaktu meninggalkan mahkamah bersama bapa Foray, Joel.
Asni, yang duduk di kandang tertuduh dengan rambut dicukur pendek dan
memakai baju biru gelap dengan jalur putih dan seluar jeans, dipeluk
oleh ahli keluarga yang menangis sebelum dibawa keluar dari mahkamah
oleh polis.
Peguam Asni bagaimanapun menmberitahu bahawa pihaknya akan merayu bagi hukuman tersebut.
Asni dituduh membunuh Foray, seorang pekerja perkhidmatan awam Perancis, selepas warga asing itu dikatakan menolak cintanya.
Pembunuhan Foray mengejutkan ramai orang di negara ini di mana jenayah kekerasan terhadap pelancong jarang berlaku.
Foray tiba di Malaysia pada Mei 2011 selepas berhenti berkerja dan
menghabiskan beberapa bulan di India dan Sri Lanka. Mendiang kemudiannya
ke Pulau Tioman sebelum hilang.
Keputusan terhadap Asni itu dibuat hanya beberapa minggu selepas seorang lagi
pelancong asing dari Britain, Gareth Huntley hilang di pulau yang sama
dalam keadaan yang masih belum ada diketahui puncanya. -KedahNews.com