Terkini #MH17: Hampir 100 Mayat Ditemui Dalam Radius 15 Kilometer Grabovo.


ALOR SETAR - Puluhan mayat ditemui bergelimpangan di sekitar kawasan serpihan pesawat MH17 yang dilaporkan terhempas di Donetsk yang terletak di sebelah kawasan timur Ukraine.

Memetik dari sumber media antarabangsa, Reuter, seorang pekerja menyelamat dan perkhidmatan kecemasan berkata sekurang-kurangnya 100 mayat sudah ditemui sehingga kini di tempat kejadian, berhampiran Kampung Grabovo.

Menurutnya lagi, serpihan pesawat berkenaan ditemui di kawasan sekitar radius keluasan 15 kilometer dari kedudukan pesawat yang terhempas itu.

"Saya berada di atas traktor ketika terdengar bunyi pesawat dan letupan kuat. Kemudian, saya nampak sebuah pesawat jatuh ke tanah dan pecah kepada dua.

"Kawasan itu dipenuhi asap hitam yang tebal," kata seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Vladimir. 

Pecahan sayap bertanda biru dan merah cat iaitu warna yang sama mewakili lambang syarikat penerbangan Malaysia di mana pesawatnya jenis Boeing 777 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Seorang pemberontak pemisah berdekatan Krasnyi Luch, Sergei mendakwa ternampak kapal terbang itu menjunam jatuh tinggi dari udara  dan kemudian mendengar dua letupan dari balkoni rumahnya.

Bagaimanapun, dia menafikan pihaknya menembak pesawat berkenaan.

"Ini boleh berlaku hanya jika ia adalah jet pejuang atau peluru berpandu permukaan-ke-udara (yang ditembak ke bawah)," katanya kepada Reuters.

Sergei menegaskan bahawa kumpulan pemberontak yang disertainya itu tidak mempunyai sebarang senjata yang mampu menembak menembak jatuh kapal terbang pada ketinggian berpuluh ribu kaki dari permukaan bumi itu. - KedahNews.com