Terlibat Militan: PAS Pecat Tiga Lagi Ahli

PAS yang sebelum ini menafikan mempunyai sebarang hubung kait dengan mana-mana gerakan pelampau militan telah memecat tiga orang lagi ahlinya yang dikaitkan dengan kumpulan militan seperti yang didedah media sebelum ini.

Ahli-ahli PAS yang terkini dipecat atas alasan mereka dikesan sebagai ahli gerakan kumpulan militan adalah Dr Mahmud Ahmad, 36, Muhammad Joraimee Awang Raimee, 39, dan seorang lagi Mohd Najib Husen, 36.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, keputusan memecat ketiga-tiga mereka dibuat ketika kepimpinan parti itu mengadakan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang bersidang baru-baru ini.

"Oleh kerana kenyataan Presiden (Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang) sebelum ini menyatakan sesiapa yang terlibat dengan gerakan selain gerakan aman "muajahah silmiyah" ini, kita akan pecat mereka ini.

"Oleh itu jawatankuasa PAS Pusat semalam membuat keputusan, ketiga-tiga mereka dipecat daripada PAS," katanya yang dipetik dari laman rasmi PAS, Harakahdaily.

Mustafa menjelaskan bahawa sebelum memaklumkan kepada PAS Pusat mengenai isu tersebut, pihaknya awal-awal lagi telah membuat semakan terhadap ketiga-tiga individu itu dan maklumat mengesahkan bahawa mereka adalah ahli PAS di peringkat kawasan.

Menurutnya lagi, penyiasatan lanjut telah dibuat menerusi pertemuan dengan sumber rapat dan mengenali latar belakang ahli-ahli PAS itu bagi memastikan kesahihan penglibatan mereka dengan kumpulan militan sebagaimana yang didakwa.

Setiausaha Agung PAS itu mendedahkan bahawa hasil siasatan ketiga-tiga itu menunjukkan bahawa mereka sememangnya terlibat dengan misi kemanusiaan di Mindanao.

"Adapun dari sudut terlibat dengan militan, sumber tidak boleh mengesahkan secara muktamad kepada saya sebab mereka semua ini tidak berada dalam negara dan tidak dapat dihubungi.

"Atas sifat tidak ada dalam negara, saya tidak boleh nak buat pengesahan sama ada mereka terlibat atau tidak," kata Mustafa lagi.

Mustafa bagaimanapun tidak menjelaskan pihak "berkuasa" yang bertanggungjawab menjalankan siasatan mengenai ketiga-tiga ahli PAS itu dan berkemungkinan ia melibatkan Unit Amal PAS yang dilihat seolah-olah bertugas seperti "pasukan keselamatan ala-ala polis".

Bagaimanapun Setiausaha Agung PAS itu menjelaskan bahawa ketiga-tiga ahli PAS yang telah dipecat keahlian parti itu boleh membuat rayuan pada PAS dengan mengemukan bukti bagi membersihkan tuduhan atau hukuman yang telah dijatuhkan pada mereka.

Sebelum ini PAS telah memecat keahlian Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Kedah, Mohd Lotfi Ariffin, kerana menyertai gerakan bersenjata di Syria. -KedahNews.com