ADAKAH anda tergolong dalam
kalangan orang yang akan tidur semula selepas bersahur dan menunaikan solat
subuh?
Jika ya, kami yakin anda
bersetuju jika kami katakan anda akan lebih letih selepas bangun daripada
tidur.
Menurut pegawai perubatan, Dr.
Zubaidi Ahmad, tidur semula selepas subuh sebenarnya akan mengganggu pusingan
biologi dalam badan sekaligus menambahkan keletihan seseorang.
Ia disebabkan gangguan ke atas
pengeluaran hormon kortisol yang berfungsi sebagai hormon kecergasan bagi
seseorang.
Sebenarnya, apabila seseorang
bangun daripada tidur setiap pagi pada pukul lima pagi untuk bersahur, rutin
ini akan merangsang pengeluaran hormon kortisol pada pukul tiga atau empat pagi
dan akan memuncak pada pukul 11 pagi.
Bagaimanapun, jika rutin ini ditukarkan
secara tiba-tiba, dengan tidur semula selepas Subuh, pengeluaran hormon ini
akan terganggu dan kita keletihan sepanjang hari berpuasa.
Justeru, adalah lebih baik jika
anda tidak tidur selepas Subuh, sebaliknya melakukan aktiviti lain bagi mengisi
masa sebelum ke tempat kerja.
Namun, jika anda benar-benar
perlukan tidur, Dr. Zubaidi mencadangkan agar anda memperuntukkan 30 minit
sebelum Zohor untuk melelapkan mata.
Insya-Allah, selepas berwudhu’
dan solat Zohor, anda akan rasa lebih segar untuk meneruskan ibadah puasa.
Sumber : MyNewsHub.my