Tiga Musuh Utama Islam: PAS Terengganu Sindir Anwar?

Timbalan Ketua Penerangan PAS Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani dalam tazkirahnya di Harakah baru-baru ini menggariskan tiga golongan dari kalangan musuh utama yang perlu dikenali oleh seluruh umat Islam.

Katanya, musuh pertama bagi umat Islam adalah jelas iaitu Iblis dan syaitan, manakala musuh kedua pula ialah melibatkan majoriti kaum Yahudi dan Nasrani yang jelas memerangi dunia Islam dalam pelbagai aspek.

“Musuh pertama umat manusia dan Islam ialah Iblis dan syaitan. Musuh ini ada sejak zaman nabi Adam lagi. Pada ketika itu belum ada kaum Yahudi mahupun Nasrani. Iblis dan syaitan kekal hingga ke hari ini dan terus berusaha memesongkan manusia dan umat Islam daripada jalan kebenaran.

“Musuh kedua umat Islam ialah golongan Yahudi dan Nasrani. Khususnya Yahudi, bukanlah saya bermaksud kesemuanya tetapi sebahagian besarnya. Perlu diingat bahawa ramai kalangan nabi dan rasul diutuskan kepada kaum Yahudi seperti nabi Ishak, Yaakub, Yusuf, Musa dan Isa,” tegas Azman yang dipetik dari laman rasmi PAS itu.

Sementara golongan ketiga pula tegasnya ialah golongan munafik. 

Menurut Azman, kelompok ini merupakan duri dalam daging kepada perjuangan Islam sejak di zaman Rasulullah SAW lagi. Antara tokoh munafik yang paling terkenal ialah Abdullah bin Ubai.

Menurut Ustaz Azman lagi, golongan munafik ini kadangkala penampilannya lebih alim daripada kebanyakan umat Islam biasa, kelihatan lebih lunak dan baik di hadapan umat Islam sama ada dari segi berpakaiannya, ucapannya, mahu pun tingkah lakunya.

Beliau turut memberi contoh di mana Abdullah bin Ubai telah berjaya memujuk penduduk Madinah supaya tidak terlibat dalam Perang Badar dan hasil pujukan secara halus itu menjadikan sebahagian penduduk Madinah menarik diri daripada menyertai Rasulullah SAW.

Oleh hal yang demikian beliau menyeru agar umat Islam sentiasa berhati-hati dengan tipu muslihat ketiga-tiga golongan tersebut.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pernah menuduh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang yang memiliki sifat-sifat munafik.

Dalam satu sesi temuramah, Mufti Perak yang bertanggungjawab di sebalik kisah "nikah lari" Anwar dan isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail itu mendakwa bahawa Anwar lebih teruk dari munafik apabila dibuktikan menyokong agenda Yahudi dan mendokong fahaman pluralisme.

Mendokong fahaman pluralisme yang dipelopori John Hick,  Anwar dikatakan berbangga duduk sebaris dengan tenaga pengajar fakulti agama di Universiti Harvard, School of Oreintal & African Studies (SOAS) yang majoritinya berbangsa Yahudi.

Anwar juga sebelum ini menyokong dasar Israel untuk menyerang mana-mana negara, termasuk Palestin dalam soal mempertahan negara zionis itu dalam satu wawancaranya dengan media antarabangsa.

Selain itu, Ketua Pembangkang itu juga pernah dilaporkan telah mengelilingi eropah untuk bertemu dengan tokoh-tokoh Yahudi dan Neo-Con untuk memohon maaf setelah mengecam tindakan Israel di Malaysia sebelum itu.

Persoalannya, apakah Anwar yang dimaksudkan oleh Timbalan Ketua Penerangan PAS Terengganu itu? -KedahNews.com