Pasar atau bazar Ramadan memang meriah dengan pelbagai jenis kuih-muih, lauk-pauk serta minuman buat juadah berbuka.
Selepas seharian berpuasa, ramai yang rambang mata apabila ke bazar
Ramadan. Apa saja diinginkan pasti dibeli tanpa memikirkan kemampuan
kita untuk menghabiskan semua makanan yang dibeli itu.
Pada masa sama, ramai juga yang mula mengetepikan amalan makan secara sihat semata-mata kerana berpuasa.
Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, makan secara sihat perlu dijadikan amalan setiap masa terutama ketika menjalani ibadah puasa.
Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, makan secara sihat perlu dijadikan amalan setiap masa terutama ketika menjalani ibadah puasa.
Ia penting bagi mengelakkan beberapa masalah kesihatan seperti
sembelit, makanan tidak hadam, kembung perut serta kandungan gula rendah
dalam darah.
Sekiranya masalah ini berlaku, pasti boleh mengganggu seseorang itu
berpuasa dengan selesa dan menghayati keistimewaan Ramadan.
Kunci kepada amalan pemakanan secara sihat ialah makan pelbagai
jenis makanan secara sederhana dan seimbang walaupun pada bulan puasa.
Ambil makanan daripada semua kumpulan makanan berdasarkan Piramid
Makanan Malaysia iaitu nasi, roti, bijirin dan hasil bijirin,
buah-buahan dan sayur-sayuran.
Selain itu, ikan, ayam, daging dan kekacang, susu dan produk tenusu
serta sedikit minyak, lemak serta gula dan garam juga perlu seimbang.
Bukan itu saja, pengambilan air sama ada dalam bentuk minuman atau sup perlu mencukupi bagi mengelakkan masalah dehidrasi.
Kebanyakan kita suka mengambil kuih-muih manis sebagai juadah
berbuka puasa. Apa yang paling penting, tidak makan secara berlebihan
dan digalakkan mengambil makanan yang ringkas terlebih dulu sebaik saja
berbuka puasa.
Ia bertujuan untuk mengelakkan ketidakselesaan kepada sistem
penghadaman kita. Mengikut sunnah, lebih baik mengambil kurma sebagai
makanan pertama berbuka puasa kerana ia kaya dengan tenaga serta serat.
Contoh makanan:
Berbuka puasa
Berbuka dengan tiga biji buah kurma, setengah cawan jus
buah-buahan, satu cawan sup sayur atau setengah cawan bubur lambuk dan
sekeping kuih.
Makan malam dengan makan satu setengah cawan nasi, seketul ikan atau ayam, satu cawan sayur campur dan sebiji buah.
Makan lewat malam (moreh). Snek ringkas seperti roti, biskut, sandwic, kuih-muih, kacang atau buah-buahan.
Pengambilan makanan yang pedas serta berempah tidak digalakkan
semasa berbuka. Ini dikhuatiri membuatkan perut tidak selesa pada siang
hari.
Bersahur
Amalan bersahur penting semasa berpuasa untuk membekalkan tenaga
sepanjang waktu berpuasa pada siang hari. Sebaik-baiknya, waktu
bersahur sekurang-kurangnya setengah jam sebelum waktu imsak. Bersahur
awal atau sebelum tidur tidak digalakkan.
Semasa bersahur, digalakkan mengambil makanan yang berasaskan
karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau oat. Pengambilan makanan
yang tinggi serat seperti roti tinggi serat atau roti mil penuh serta
oat pula dapat mengurangkan rasa lapar.
Jangan lupa mengambil buah-buahan dan air yang mencukupi sewaktu
bersahur. Bagaimanapun, pengambilan minuman berkafein seperti teh atau
kopi tidak digalakkan kerana ia boleh mengakibatkan kehilangan air dalam
badan.
Contoh makanan ketika sahur:
Bersahur dengan satu setengah cawan nasi, seekor ikan goreng,
setengah cawan sup sayur campur dan tauhu, sebiji pisang atau tiga biji
kurma, segelas air kosong dan segelas susu rendah lemak.
Secawan bijirin sarapan dengan setengah gelas susu rendah lemak dan
kismis atau hirisan pisang, dua keping roti mil penuh dengan sedikit
jem, segelas jus oren dan segelas air kosong.
Bulan puasa juga peluang yang baik untuk menurunkan berat badan bagi
mereka yang bermasalah berat badan. Namun, perkara penting adalah
mengamalkan pengambilan makanan yang sederhana dan seimbang serta
mengurangkan makanan tinggi lemak dan gula.
Beri perhatian pada saiz hidangan kerana biasanya apabila lapar,
kita lebih cenderung mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak.
Jangan jadikan puasa sebagai alasan untuk anda tidak aktif. Lakukan
aktiviti fizikal secara sederhana seperti regangan dan berjalan kaki.
Pengambilan makanan secara sihat bukan saja dapat mengurangkan berat
badan malah membolehkan kita menjalani ibadah puasa dengan sempurna.
Sumber: MyMetro