BERIKUT IALAH TITAH UCAPAN PENUH SULTAN SELANGOR:
TITAH UCAPAN DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SELANGOR DI MAJLIS PERASMIAN
MASJID PEKAN SEPANG PADA HARI SELASA, 15 JULAI 2014 BERSAMAAN 17 RAMADHAN 1435
H
Assalamu’alaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim Segala puji bagi Allah Subhanahu
Wata’ala, Tuhan semesta alam, Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi
kita Muhamad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke
hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurniaNya, Beta dapat
hadir ke majlis perasmian masjid dan berjumpa serta berbuka puasa dan
menunaikan solat tarawikh dengan rakyat Beta di daerah ini.
Beta bersyukur ke hadrat Allah
Subhanahu Wata’ala kerana negara Malaysia dan negeri Selangor yang kita kasihi
ini adalah dalam keadaan aman dan tidak ada kekacauan dan rusuhan, yang mana
umat Islam dapat menjalankan ibadah puasa pada bulan Ramadhan yang mulia ini
dengan aman dan Allah Subhanahu Wata’ala telah menyuruh umat Islam menjalankan
kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan yang mulia ini dan beramal serta menjalankan
kerja-kerja yang mulia serta menghindari perkara-perkara yang dilarang oleh
Allah Subhanahu Wata’ala dan agama Islam .
Beta juga bersyukur pada hari ini
kita dapat bersama-sama menyambut Nuzul Quran yang mana ini adalah satu
peristiwa agung yang perlu diingati iaitu turunnya Al-Quran dari Loh Mahfuz ke
Baitul Izah di Langit Dunia dan juga turunnya ayat pertama daripada surah
Al-Alaq yang diturunkan dari Baitul Izah kepada Nabi Muhammad Sallahu Alaihi
Wasallam, melalui Malaikat Jibril Alaihis Salam dan ianya mengambil masa selama
dua puluh tiga (23) tahun untuk menyempurnakan Al-Quran yang menjadi panduan
kepada umat Islam untuk menjalankan kehidupan didunia ini dan beribadah kepada
Allah Subhanahu
Sempena bulan Ramadhan yang mulia
ini, Beta mengingatkan supaya orang Melayu umat Islam janganlah berbalah antara
satu sama lain sebaliknya orang Melayu umat Islam, haruslah bersatu padu dan
bermuafakat.
Orang Melayu umat Islam jangan
fitnah-menfitnah, mencaci dan menuduh antara satu sama lain serta membuat
cerita-cerita yang tidak benar hingga menimbulkan perasaan syak wasangka dan
seterusnya akan mencetuskan permusuhan antara sesama orang Melayu umat Islam
dan akan mengakibatkan kerugian kepada generasi kita di masa depan.
Perpecahan orang Melayu akan merugikan
orang Melayu sendiri, baik hari ini ataupun untuk generasi akan datang. Orang
Melayu mestilah bersatu padu dan mengukuhkan bangsa Melayu serta agama Islam
agar tidak diperlekehkan.
Beta percaya seandainya orang
Melayu tidak mahu bersatu padu, nescaya di satu hari nanti tragedi akan menimpa
orang Melayu yang mana orang Melayu akan menjadi satu bangsa yang kian pupus
dan tenggelam ditelan zaman serta akhirnya akan hanya tinggal nama semata-mata.
Adakah kita mahu tragedi sebegini
berlaku kepada orang Melayu yang beragama Islam di tanah air kita sendiri?
Fikirkanlah siapa yang akan untung dan siapa yang akan rugi.
Selain itu, Beta juga amat
dukacita dengan golongan ekstremis agama, liberalisasi agama dan juga
pluralisme agama yang sedang berleluasa di negara kita. Ekstremis agama,
liberalisasi agama dan pluralisme agama bukan sahaja akan merosakkan aqidah
umat Islam, malah akan menghancurkan umat Islam di suatu masa nanti.
Ekstremis agama yang Beta
maksudkan adalah golongan ekstremis yang sering mencetuskan keganasan tanpa
batasan, manakala liberalisasi agama adalah golongan yang mengamalkan budaya
seperti LGBT yang secara terang-terangan melanggar aqidah umat Islam.
Pluralisme agama pula adalah
mereka yang berpendapat semua agama termasuk agama Islam adalah sama dan tidak
ada satu agama pun boleh diberikan kelebihan berbanding agama-agama lain.
Walau bagaimanapun kita perlu
akur bahawa agama Islam mempunyai kedudukan yang lebih tinggi kerana ia adalah
Agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, semua golongan ini
perlu dibendung agar aqidah umat Islam terpelihara dan dilindungi. Beta mahu
rakyat Negeri Selangor mengamalkan agama Islam yang “moderate” mengikut fahaman
Ahli Sunah Dalam pada itu, Beta merasa dukacita kerana ada di kalangan ahli
politik dan golongan cerdik pandai yang beragama Islam sendiri, tidak
melindungi kesucian agama Islam daripada dipermainkan oleh pihak-pihak
tertentu.
Sebaliknya mereka lebih
mengutamakan agenda politik dan peribadi mereka dengan mengelirukan masyarakat.
Ada di kalangan mereka ini telah dengan berani mempersoalkan kuasa institusi
agama Islam seperti MAIS yang selama ini berperanan memastikan kesucian agama
Islam dan urus tadbir hal ehwal agama Islam di Negeri Selangor
Beta merujuk kepada petikan
laporan akhbar-akhbar utama tanahair pada 18 Jun 2014, yang mana Ahli Parlimen
Shah Alam Khalid Samad telah mempersoalkan kuasa eksekutif MAIS dan
mencadangkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menghapuskan kuasa eksekutif
MAIS.
Beta amat kesal dan kecewa dengan
kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu.
Khalid Samad yang bukannya anak
jati Selangor namun telah berpeluang menjadi Ahli Parlimen di Selangor
sepatutnya mengambil segala langkah untuk melengkapkan diri untuk memahami
sejarah Negeri Selangor dan mendalami undang-undang yang terpakai di Negeri
Selangor terutama Undang-ndang Tubuh Kerajaan Selangor dan Enakmen Pentadbiran
Agama Islam Negeri Selangor.
Kenyataan Khalid Samad itu
ternyata menunjukkan beliau jahil tentang peranan MAIS yang diwujudkan oleh
Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor sebagai penasihat dan membantu Beta dalam
menjalankan kuasa Beta sebagai Ketua Agama Islam di Negeri Selangor.
Tindakan Khalid Samad
mempersoalkan kuasa MAIS seolah-olah menunjukkan sikap biadap dan penentangan
kepada kuasa Beta sebagai Ketua Agama Islam yang mendapat nasihat dari pihak
MAIS berkenaan agama Islam seperti yang sedia termaktub di bawah undang-undang.
Ini bukan kali pertama Khalid Samad telah mempersoalkan tentang isu berkaitan
tentang kuasa eksekutif MAIS dan juga Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor
yang dianggapnya sudah lapuk.
Oleh itu Beta menyeru kepada
Khalid Samad agar di masa akan datang beliau berwaspada di dalam mengeluarkan
sebarang kenyataan dan jangan menunjukkan sikap biadap dan jahil beliau apabila
membicarakan isu berkaitan dengan kuasa Beta dan peranan MAIS di dalam
menasihati Beta mengenai Beta ingin mengambil kesempatan di sini untuk
menegaskan bahawa MAIS sentiasa menjamin hak dan kebebasan penganut agama lain
di dalam mengamalkan agama mereka.
MAIS sentiasa menghormati orang
bukan Islam di dalam amalan agama mereka seperti yang telah diperuntukkan di
dalam Perlembagaan Persekutuan. Segala tindakan yang dilakukan oleh MAIS dan
JAIS adalah bagi memelihara kesucian agama Islam tanpa menggangu penganut agama
lain di dalam menganut agama
Beta sekali lagi menegaskan
kepada semua pihak bahawa jangan jadikan agama Islam sebagai modal politik.
Kesucian agama Islam perlu sentiasa dipelihara. Sebagai orang politik
seharusnya mereka lebih bertanggungjawab di dalam mengeluarkan sebarang
kenyataan bagi memastikan kesucian agama Islam dan perpaduan umat Islam di
Negara ini sentiasa terpelihara.
Di bulan yang mulia ini juga Beta
berkenan supaya semua umat Islam di Negeri Selangor ini mensyukuri nikmat yang
telah diberikan oleh Allah Subhanuhu Beta mengingatkan sekali lagi janganlah
dijadikan masjid sebagai gelanggang untuk berpolitik dan juga tempat mengadakan
demonstrasi yang negatif, baik di dalam atau di kawasan perkarangan masjid.
Masjid dan surau adalah tempat
Umat Islam dan Orang Melayu beribadat dan bertemu bagi mengeratkan silaturrahim
antara sesama orang Melayu umat Islam.
Beta mengakhiri ucapan Beta ini
dengan mengucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh umat Islam, semoga amal
ibadah kita diterima dan diberkati Allah Subhanahu Wata’ala. Jadikanlah masjid
sebagai tempat yang aman, selesa dan kondusif untuk setiap umat Islam melakukan
ibadah dan mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala.
Maka dengan lafaz Bismillahir
Rahmanir Rahim, Beta merasmikan Masjid ini dengan nama Masjid Pekan
Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sumber : MyNewsHub.My