LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan memohon kepada
kerajaan untuk membenarkan pasukan keselamatan melepaskan tembakan
terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menceroboh masuk kawasan
perairan Sabah.
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, cadangan
peraturan itu sebagai salah satu usaha untuk menghalang kumpulan
pengganas dari Filipina menceroboh masuk ke negara ini.
Beliau berkata peraturan sedia ada tidak membenarkan pasukan
keselamatan menembak apabila ternampak (shoot on sight) yang menghalang
pasukan keselamatan termasuk TLDM untuk membanteras kumpulan pengganas.
“Saya fikir sudah tiba masanya Peguam Negara harus memikirkan perkara
ini supaya memudahkan pengawasan untuk keselamatan perairan negara di
Pantai Timur Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden
pencerobohan terbaharu di Semporna, Sabah yang mengakibatkan seorang
anggota polis marin terbunuh dan seorang lagi hilang dipercayai diculik.
Dalam kejadian Sabtu lepas, sekumpulan lapan lelaki yang lengkap
bersenjata menyerang hendap sebuah resort di Pulau Mabul dan membunuh
seorang anggota polis marin Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, dan menculik
Konstabel Zakia Aleip, 26.
Beliau berkata, penceroboh tidak takut dengan pihak berkuasa kerana
mereka tahu pasukan itu hanya memberi amaran supaya berhenti dan tidak
akan melepaskan tembakan.
“Kalau kita bagi amaran berhenti, mereka tidak akan berbuat demikian
dan akan sentiasa berjaya melepaskan diri, oleh itu perkara ini tidak
boleh dibiarkan,” katanya.
Terdahulu, beliau menyaksikan majlis serah terima tugas Panglima
Armada yang baharu iaitu Laksamana Madya Datuk Mohamad Roslan Mohamad
Ramli bagi menggantikan Laksamana Madya Datuk Abdul Hadi A. Rashid yang
bersara wajib. – BERNAMA