Ugut Bunuh Mukhriz: Suspek Telah Ditahan

Pihak berkuasa telah menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang dilaporkan telah mengugut untuk membunuh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah. 

Menurut laporan, suspek yang mengugut itu merupakan pengguna laman media sosial Facebook dengan nama "Padi Jantan" telah ditahan pada pukul 5.45 petang Ahad di Shah Alam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Selangor, Asisten Komisioner Nashir Ya berkata, suspek akan dibawa ke Alor Setar untuk siasatan lanjut dalam masa terdekat.

"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,"katanya yang dipetik dari media Mstar, semalam.

Pemuda Umno Bahagian Jerlun pada Sabtu telah membuat laporan polis berhubung ugutan yang dibuat lelaki itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya sebelum ini mengesahkan pihaknya telah menerima lima laporan polis berhubung kes berkenaan sebelum ini.

Padi Jantan dilaporkan telah memuat naik di laman Facebooknya menyatakan bahawa dia sedia menembak mati Mukhriz dan Syed Unan Mashri sekiranya ada pihak yang sanggup membekalkannya dengan sepucuk pistol serta peluru, sebelum menembak seorang lelaki Cina, Sonny Ho.

"Jika ada sesiapa yang sanggup bagi aku pistol dan peluru nescaya aku akan tembak mampos dua makhluk ini dulu sebelum aku tembak Sonny Ho si Kafir Harbi... Insyaallah," kata pemilik laman akaun Padi Jantan itu.

Perkembangan terkini menyaksikan pemilik akaun Facebook menggunakan nama "Padi Jantan" telah memadam status yang mencetus kekecohan itu. -KedahNews.com