Kuala Lumpur, 15 Julai – Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarakan semua masyarakat beragama
Islam di negara ini agar terus menghayati ajaran yang terkandung di dalam
Al-Quran serta menjadikan ia satu amalan dalam kehidupan seharian.
Muhyiddin dalam perutusannya
sempena Nuzul Al-Quran berkata, setiap baris ayat di dalam kitab Al-Quran
mengandungi kesucian dan kesejahteraan yang wajib diikuti oleh masyarakat agar
dapat dihayati serta dijadikan pegangan hidup supaya Malaysia menjadi sebuah
negara Islam yang dihormati.
“Marilah kita bersama-sama
menghayati Nuzul Al-Quran ini sebagai satu peristiwa besar yang penuh makna dan
hikmah.
“Marilah kita mempertingkatkan
amal ibadat kita sepanjang bulan Ramadan yang barakah ini di samping menginsafi
keadaan umat Islam pada masa ini,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Nuzul Al-Quran yang jatuh pada 16
Ramadhan harus sentiasa diingati kerana berlakunya satu peristiwa turunnya
Al-Quran kepada junjungan besar Nabi
Muhammad SAW.
Menurut Muhyiddin, isi kandungan
di dalam Al-Quran memberi manfaat serta pedoman kepada umat Islam supaya patuh
kepada perintah Allah S.W.T dan sentiasa bersikap tabah dalam menempuh pelbagai
cabaran dalam kehidupan.
“Allah SWT menurunkan al-Quran
secara berperingkat sehingga akhirnya menjadi sebuah kitab yang syamil dan
kamil sehingga mencakupi semua aspek kehidupan.
“Al-Quran menjadi satu-satunya
kitab yang intipatinya menjadi rujukan dari mula ayat pertama diturunkan
sehinggalah ayat terakhir. Amat penting sekali isi kandungan al-Quran tidak
pernah lapuk dan sentiasa sesuai dengan peredaran zaman.
“Sesungguhnya turunnya al-Quran
kepada Nabi Muhammad SAW kali pertama di Gua Hira pada malam Jumaat bertepatan
pada, 17 Ramadan iaitu tahun ke-41 daripada keputeraan baginda mesti disyukuri
oleh setiap umat Islam lantaran Kitab Suci itu menjadi panduan untuk kita umat
Islam menjalani kehidupan sebagai khalifah di muka bumi ini,” katanya lagi. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor