Usah Ikut Nafsu Buat Persediaan Hari Raya


Minggu ini adalah minggu terakhir kita berada pada bulan Ramadan yang berkat. Seperti didoakan oleh ilmuwan silam, kita juga turut memohon yang sama kepada Allah SWT semoga amalan puasa, sembahyang sunat tarawih dan ibadah lain diterima Allah SWT serta diberi ganjaran yang tinggi.

Semoga kita juga diizinkan Allah SWT bertemu dengan malam besar al-Qadr yang ditunggu-tunggu semua ahli ibadah yang ikhlas. Bagaimanapun, tiada siapa yang mengetahui waktu al-Qadr ini. Justeru, sungguh berkat orang yang mendapat nikmat bertemu dengan malam al-Qadr ini.

Amalan Ramadan sebagai perubahan diri

Amalan sepanjang Ramadan adalah satu tempoh untuk membiasakan kita kepada perubahan. Jika pada Ramadan, perokok dapat menahan diri daripada merokok sepanjang siang, maka ia seharusnya menjadi tabiat yang dapat diteruskan pada hari lain selepas Ramadan.

Begitu juga jika sepanjang bulan kita dapat menahan diri daripada mengumpat dan memburukkan orang kerana bimbangkan pahala puasa menjadi kurang, maka amalan itu seharusnya menjadi sebahagian daripada peribadi kita selepas berakhirnya Ramadan.

Apatah lagi membabitkan peribadi sebagai Muslim. Apabila ramai wanita Islam memakai tudung dan berhijab pada Ramadan, mungkin pada peringkat awal semata-mata untuk menghormati bulan puasa, seeloknya selepas Ramadan, pakaian berhijab akan menjadi sebati.

Pengkaji psikologi menyatakan apabila kita melakukan sesuatu amalan selama 25 hari dan lebih, secara tetap dan istiqamah, maka otak kita sudah dapat menerimanya sebagai kebiasaan dan ia menjadi amalan biasa selepas tempoh itu.

Atas dasar itulah Ramadan sering disebut sebagai madrasah atau pusat latihan untuk kita orang Islam. Sesuatu amalan yang kita biasakan sepanjang bulan itu seharusnya dapat menjadi tabiat dan sebati dengan kita serta dapat diamalkan secara berterusan selepasnya.

Selesai menjalani puasa sebulan, Islam mengajar kita meraikan kegembiraan dan menyambut kedatangan Syawal. Kita diminta menzahirkan kegembiraan berjaya melaksanakan perintah itu dengan keluar beramai-ramai mengerjakan solat sunat Aidilfitri serta mengenakan baju yang cantik.

Mengenakan baju cantik boleh merujuk kepada baju yang baharu dibeli atau ditempah serta tidak pernah dipakai. Ia juga boleh merujuk kepada baju yang masih cantik walaupun mungkin sudah dipakai sebelumnya.

Usah melampau berbelanja

Apa yang dikehendaki agama adalah memakai pakaian yang menzahirkan kegembiraan kerana berjaya melaksanakan ibadah puasa. Jangan melampau berbelanja dalam menyediakan pakaian dan perhiasan kerana bukan untuk bermegah-megah.

Dalam menyediakan pakaian baharu, perhiasan dan juadah raya, ada yang tersasar daripada kehendak agama. Baru-baru ini, akhbar melaporkan ada isteri memukul suami hanya kerana suami enggan membelikan baju baharu untuknya.

Ada juga rumah tangga berpecah belah, suami isteri bergaduh, anak merajuk dan melawan ibu bapa hanya kerana hendak membeli baju baharu berpasang-pasang, menukar perhiasan rumah yang harganya bukanlah sedikit.

Ditambah dengan keadaan harga barang yang meningkat sekarang, wajarlah suami isteri dan ibu bapa berbincang mendapat kata putus yang bersesuaian dalam menangani perkara ini.

Pada masa sama, kita juga perlu prihatin terutama anak mangsa cerai yang selalunya menjadi orang paling sedih kerana ibu bapa saling berebut membawa mereka beraya bersama atau ayah yang tidak memberikan perhatian atau wang untuk mereka meraikan hari raya.

Semoga semangat beribadah pada Ramadan dihayati bersama dan dapat membina nilai diri kita menjadi insan lebih bertolak ansur serta menghargai nikmat yang Allah SWT berikan.

Sumber : Berita Harian