Kuala Lumpur, 3 Julai –
Penceramah terkenal, Ustaz Kazim Elias menasihati artis-artis wanita yang telah
berhijrah dengan berhijab hendak mendalami ilmu agama Islam dengan
secukupnya dan bukan semata-mata untuk
berfesyen atau mengikuti rakan artis yang lain.
Ustaz Kazim atau nama sebenarnya
Mohammad Kazim Elias, 42 , berkata, perubahan yang dilakukan di kalangan artis
wanita untuk berhijab adalah satu perkara yang baik kerana golongan ini
merupakan ikon kepada masyarakat di negara.
“Alhamdulillah… bagus ramai artis
yang berhijrah ke arah kebaikkan kerana ia dapat mempengaruhi peminat mereka
untuk melakukan perkara sama tetapi biarlah ia disertai dengan ilmu agama yang
cukup.
“Jangan hari ini beritahu sudah
berubah lalu mengenakan tudung dan terus hendak menjadi seorang ustaz atau
ustazah kerana banyak perkara yang perlu didalami mereka terlebih dahulu,”
katanya kepada mStar Online.
Menurut Ustaz Kazim lagi, golongan
para artis harus belajar mendalami ilmu agama daripada guru-guru yang
bertauliah kerana bimbang sekiranya kenyataan yang mereka buat tidak kira di
laman-laman sosial akan mencetuskan kontroversi sekaligus memalukan diri
sendiri.
“Jika asas dalam bidang agama
tidak cukup bagaimana hendak berceramah kepada orang lain malah ia boleh menjadi
risiko besar.
“Tambahan pula dengan teknologi
hari ini apa yang kita perkatakan dalam masa lima minit ia akan tersebar di
laman sosial dan YouTube. Jadi golongan ini harus berhati-hati dan belajar
terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pada sidang media program Kembara U.K.E di Times Square semalam.
Dalam pada itu, Ustaz Kazim
berkata, dia akan terlibat dengan program Kembara U.K.E yang akan mempaparkan
pengisian dakwah secara santai bersama peminat di atas kapal mewah Star Cruise
ke beberapa destinasi menarik iaitu Pulau Pinang, Pulau Langkawi dan Phuket,
Thailand.
Kembara U.K.E. itu akan diadakan
pada 24 hingga 27 Ogos depan dan Astro Oasis bertindak sebagai penyiar utama
dengan kerjasama Intratama Travel Consultant & Tours dan Pusat Pendidikan
Al-Barakah.-KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor