Pendakwah selebriti Ustaz Kazim
Elias berkata beliau tidak bermaksud memberi contoh Nabi Muhammad S.A.W
melakukan kenduri paling mahal dengan menyediakan roti jala yang dicelup dengan
kuah kari seperti yang dipaparkan dalam sebuah buku dan juga rakaman ceramah yang
tersebar.
Menurut Kazim, sebenarnya
mengikut sejarah, Nabi pernah menyediakan roti yang dicicah dengan kuah kambing
dan bagi mengikut sunah Rasulullah, masyarakat zaman ini boleh menyediakan roti
jala dicelup dengan kuah kari kepada tetamu yang hadir.
“Saya tahu ramai yang
mempertikaikan tentang perkara itu. Takkanlah saya bodoh nak cakap Rasulullah
beri makan roti jala kepada tetamunya. Zaman itu ada ke roti jala ke?
“Ia sebenarnya hanyalah satu
contoh di mana jika Rasulullah menyediakan roti dengan kuah kambing, apa
salahnya kita sediakan roti jala dengan kuah kari. Tetapi ramai yang salah
faham,” katanya yang dihubungi mStar Online.
Pada tahun lalu, sebuah buku berjudul
Tuhan Sedang Menguji Kita yang memetik ceramah-ceramah Kazim telah diterbitkan
di bawah penerbitan Karangkraf.
Artikel yang ditulis di sebuah
buku ‘Tuhan Sedang Menguji Kita’.
Bagaimanapun buku tersebut
menjadi bualan ramai apabila pada muka surat ke-51, terdapat artikel yang
mengatakan kenduri Rasulullah S.A.W yang paling mahal adalah roti jala dicelup
dengan kuah kari.
Rakaman video ceramah mengenai
topik itu juga turut dirakamkan dan disiarkan menerusi YouTube sehingga
menimbulkan komen-klomen negatif masyarakat.
Ramai yang memberi reaksi bahawa
Kazim telah menyampaikan informasi salah dan ia boleh menjejaskan akidah
masyarakat yang mengikuti ceramah-ceramahnya.
Dalam pada itu, Kazim berkata,
sebelum buku tersebut diterbitkan, dia telah membuat beberapa pembetulan
termasuklah bahagian isu roti jala yang ditulis, namun dia tak pasti sama ada
ia telah diperbetulkan atau tidak.
Sementara itu, Kazim berkata, dia
tidak mempunyai masalah dengan isu yang ditimbulkan kerana dia tahu ada pihak
yang tidak bertanggungjawab sengaja mencetuskan kontroversi tersebut dengan
memanipulasikan kenyataannya itu.
“Sebenarnya perkara itu sudah
lama malah buku itu laris dijual. Tetapi kenapa ia perlu dibangkitkan sekarang?
“Saya tahu ada pihak yang tidak
puas hati dengan saya yang tidak menyokong sesebuah parti politik itu sehinga
ia sengaja mencetuskan isu.
“Dan pendirian saya pula, sebagai
pendakwah tidak akan memihak kepada mana-mana parti politik kerana saya hanya
mahu berdakwah. Itu sahaja,” tegasnya.
Sumber : Mstar.com.my