Yang Tersurat, Tersirat Di Sebalik Wang Kertas Malaysia

Memberi duit raya sudah menjadi satu tradisi yang telah lama wujud dan terus diamalkan hingga ke hari ini. Jika dahulu nilai duit raya kecil, mungkin RM1 atau RM2 yang terhad hanya untuk kanak-kanak.

Namun hari ini nilai duit raya yang diberi semakin meningkat dari RM5, RM10, RM20 dan ada juga RM50 bergantung kepada kemampuan seseorang.

Tahukah anda setiap wang kertas itu mempunyai maksud dan nilai estetik yang tersendiri? Berikut adalah beberapa gambar dan fakta menarik tentang duit kertas Malaysia.

Wang Kertas RM100 – Keajaiban Alam Semula Jadi

01_RM100_bm

Dua keajaiban alam semula jadi terkemuka negara yang diisytiharkan sebagai ‘Tapak Warisan Dunia’ oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dipaparkan pada wang kertas RM100. 

Keajaiban alam semula jadi yang dipaparkan pada duit kertas RM100 ini ialah Taman Kinabalu di Sabah, dengan Gunung Kinabalu yang hebat dan agung (iaitu gunung tertinggi di Asia Tenggara) dan pembentukan batu mercu batu kapur yang menakjubkan di lembah Gunung Api, yang ditemui di Taman Negara Mulu di Sarawak. 

Kedua-duanya adalah alam semula jadi yang sangat mengagumkan dan membanggakan Malaysia.

Wang Kertas RM50 – Pertanian dan Teknologi

02_RM50_bm

Pada wang kertas RM50, gambar kelapa sawit dan bioteknologi dipaparkan sebagai satu ikon ekonomi yang sedang berkembang pesat dan boleh dibanggakan. 

Kelapa sawit telah menjadi tanaman pertanian negara yang paling utama dari segi ekonomi kerana Malaysia merupakan salah satu pengeluar dan pengeksport terbesar kelapa sawit di dunia. 

Bioteknologi terus meningkatkan kedudukan komoditi ini dalam rantaian nilai, menyokong transformasi ekonomi negara ke arah aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dalam sektor pertanian, perkilangan dan perkhidmatan.

Wang Kertas RM20 – Hidupan Laut

03_RM20_bm
Setelah sekian lama duit RM20 diperkenalkan semula dengan meletakkan gambar keindahan dan hidupan laut di Malaysia. 

Duit kertas baru RM20 ini memaparkan gambar dua spesies penyu terkenal dan hanya dijumpai di perairan Malaysia iaitu Penyu Karah (Eretmochelys imbricata) dan Penyu Belimbing (Dermochelys coriacea). 

Penyu Karah mudah dikenali melalui muncungnya yang melengkung dan kulitnya yang bersisik manakala Penyu Belimbing pula mempunyai kulit yang keras dan tujuh jaluran pada cangkerangnya.

Wang Kertas RM10 – Flora

04_RM10_bm

Wang kertas baru RM10 berwarna merah dan memaparkan Hutan Tropika Malaysia yang tumbuh subur. 

Spesies Rafflesia Azlanii yang dipaparkan pada wang kertas RM10 baharu ini merupakan spesies asli Semenanjung Malaysia dan mula-mula sekali ditemui di Hutan Simpan Royal Belum di negeri Perak pada tahun 2003. 

Bunga ini dinamakan sempena nama Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah.

Wang Kertas RM5 – Hidupan Liar

05_RM5_bm
Wang kertas baru RM5 bertemakan hidupan liar dan memaparkan gambar burung enggang. Burung Enggang Badak (Buceros rhinoceros), iaitu salah satu spesies burung enggang terbesar dan paling mengagumkan di dunia. 

Burung yang menarik, bersayap lebar dan berekor panjang yang boleh ditemui dalam kelompok kecil di hutan hujan di seluruh negara ini memainkan peranan penting dalam budaya dan upacara tradisional negeri Sarawak yang turut dikenali sebagai ‘Bumi Kenyalang’.

Wang Kertas RM1 – Sukan Tradisional

06_RM1_bm

Wang kertas RM1 masih mengekalkan gambar permainan tradisional, Wau di belakang wang tersebut tetapi dengan rekaan dan bentuk baru. 

Permainan wau merupakan sukan tradisional yang popular di Malaysia terutamanya di Kelantan dan Terengganu. Permainan wau juga secara tradisinya merupakan suatu acara untuk meraikan hasil tuaian yang baik yang merapatkan masyarakat tempatan negeri-negeri tersebut.