KUALA LUMPUR – DAP mendakwa Tan
Sri Abdul Khalid Ibrahim akan tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
Pelabuhan Klang jika pilihan raya diadakan semula di Selangor.
Justeru, Penasihat DAP, Lim Kit
Siang menasihatkan Abdul Khalid supaya tidak menjangkakan beliau akan dapat
mempertahankan kedudukan sebagai Menteri Besar jika DUN Selangor dibubarkan.
“Adakah Abdul Khalid amat serius
untuk menjangkakan jika DUN Selangor dibubarkan, beliau mempunyai peluang untuk
memenangi pilihan raya negeri dan kembali kepada DUN sebagai Menteri Besar
Selangor.
“Sebanarnya, Abdul Khalid sendiri
tidak akan dapat menyelamatkan dirinya jika pembubaran DUN dilakukan kerana
beliau akan tewas di kerusi Pelabuhan Klang jika bertanding semula di situ,”
dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Kit Siang meminta
Abdul Khalid membuat keputusan bermaruah dengan segera mengadakan persidangan
tergempar DUN untuk menunjukkan yang beliau mendapat sokongan majoriti ADUN
Selangor.
Katanya lagi, pembubaran DUN
tidak boleh menjadi satu pilihan dalam berhadapan isu jawatan Menteri Besar
Selangor kerana ia menafikan mandat yang diberikan rakyat Selangor kepada
pakatan pembangkang pada pilihan raya umum yang lalu.
Dakwanya, tiada krisis
perlembagaan berlaku di Selangor kerana majoriti ADUN negeri itu telah
menyatakan pendirian tidak percaya kepada Abdul Khalid.
“Cuma Abdul Khalid seorang yang
mencipta krisis perlembagaan itu kerana enggan melepaskan jawatan Menteri Besar
sekali gus menghina prinsip demokrasi,” dakwanya.
Media semalam melaporkan, Abdul
Khalid tidak menolak kemungkinan membubarkan DUN sebagai langkah menyelesaikan
krisis kepimpinan yang melanda negeri itu.
Bagaimanapun, beliau dipetik
berkata, segala keputusan akan diambil setelah beliau mendapat nasihat dan
perkenan Sultan Selangor.
Sumber : MyNewsHub.My