Abdul Khalid Seorang Pelakon Yang Hebat - Khalid Samad

Kuala Lumpur, 18 Ogos - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khalid Abdul Samad menyifatkan keputusan PAS menyingkirkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah satu kejayaan parti itu mengesan segala helah dan lakonan Ahli Undangan Negeri(ADUN) Pelabuhan Klang sebelum ini.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, tindakan PAS sebelum ini menyokong Abdul Khalid disebabkan terpedaya dengan lakonannya memberi ‘gula-gula politik’ sehingga percaya dia adalah seorang tokoh yang bersih.

"Beliau ini (Abdul Khalid) hebat, kita termakan, beliau tahu dirinya telah ditolak PKR beliau cuba kaburi Pas.

"Hendak selamatkan dirinya dia beri pelbagai kelebihan kepada Pas, dalam pada itu apa-apa yang berlaku di Selangor beliau tidak lapor kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi beliau lapor kepada Pas," katanya pada forum 'Krisis Selangor: Mengapa Pas Terasing' di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya lagi, segala lakonan Abdul Khalid sebelum ini dilihat sangat berjaya menyebabkan PAS terus menyiokongnya sebelum mereka mencapai  keputusan terbaru semalam.

"Abdul Khalid berjaya dalam lakonannya, tetapi keputusan hari ini (semalam) menunjukkan siapa sebenarnya Abdul Khalid," katanya lagi.

Sementara itu, merujuk kepada ‘Langkah Kajang’ yang disifatkan satu tindakan pertama bagi menyingkirkan Abdul Khalid, dia berkata apa yang dilakukan Pakatan Rakyat (PR) adalah untuk memberi kesedaran kepadanya untuk berubah.


"Langkah Kajang, semua setuju, ianya bukan tujuan nak tukar Abdul Khalid apa yang  kita mahukan ialah kita hendak Abdul Khalid tukar (nak beri beliau berubah).


"Melalui Langkah Kajang kita hendak bagi Abdul Khalid tekanan... Iskandar Abdul Samad, sebab itulah kita letak calon yang hebat dalam Langkah Kajang, itu sebenarnya hendak beri Abdul Khalid ubah perangai," ujarnya lagi. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor