Ahli Perniagaan Disamun, Rakan Dirogol Di Jambatan Kedua Pulau Pinang


Butterworth, 4 Ogos – Seorang ahli perniagaan telah disamun manakala rakannya wanita warga asing berusia 22 tahun telah diculik sebelum dirogol oleh sekumpulan empat lelaki ketika sedang berehat di hentian Jambatan Pulau Pinang awal pagi semalam.

Ketika kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi semalam, salah seorang daripada empat suspek berpura-pura bertanyakan jalan kepada mangsa sebelum tiga rakannya bertindak menyerang ahli perniagaan yang berusia 46 tahun dan membawa lari rakanya wanitanya bersama-sama kereta Hyundai milik mangsa.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Asisten Komisioner Nasir Salleh berkata, kedua-dua mangsa dipercayai sedang berehat di hentian jambatan sebelum pulang ke rumah di Seberang Perai.

“Suspek membawa kereta mangsa ke kawasan terpencil di Sungai Dua yang mangsa mendakwa dirogol tiga suspek berkenaan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, keempat-empat suspek turut melarikan dompet,telefon bimbit, wang tunai RM1,000 serta barang berharga milik mangsa.

Rakan wanita yang diculik oleh suspek telah ditinggalkan di sebuah stesen minyak di Sungai Dua manakala kereta mangsa telah dijumpai di kawasan Sungai Puyu, Butterworth.

Menurut Nasir, mangsa yang mendakwa  dirogol oleh suspek telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan pemeriksaan sebelum membuat laporan polis di Balaai Polis Mak Mandin.

Siasatan awal polis berdasarkan keterangan mangsa  mendapati kesemua empat suspek dipercayai berumur dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun.

“Kami sedang menjalankan siasatan dan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor