Kuala Lumpur, 3 Ogos – Penyanyi rock kumpulan Search,Suhaimi
Abdul Rahman atau Amy Search telah memaafkan teman lelaki anak perempuannya,
Nabila Huba dan sedia menerima lelaki itu seandainya benar mereka bercinta.
Amy berkata, dia tidak pernah menghalang perhubungan cinta
anaknya dengan mana-mana lelaki kerana perkara itu adalah pilihan hati Nabila
sendiri.
Menurut penyanyi itu lagi, kemarahannya terhadap kekasih
Nabila sebelum ini sudah kembali jernih kerana lelaki tersebut sanggup
berhadapan dengannya untuk memohon maaf atas perkara yang berlaku sebelum ini.
"Sebenarnya saya tidak pernah menyekat mana-mana lelaki
yang ingin berkawan dengan Nabila kerana itu pilihannya.
"Walaupun pernah marah dengan kekasih Nabila, tetapi
jauh di sudut hati, saya tidak berdendam.
"Cuma saya bersyukur kerana dia seorang yang
bertanggungjawab, berani berdepan dengan saya dan kerana dia juga hubungan saya
dan Nabila, Alhamdulillah, kembali jernih," katanya kepada mStar Online.
Sebelum ini, tindakan Nabila memuatnaik gambar mesra bersama
kekasihnya di Instagram semasa bercuti di luar negara mendapat teguran yang
agak kasar daripada Amy Search.
Selain itu, Nabila juga dikatakan langsung tidak bertemu
dengan bapanya dan beraya bersama keluarga sendiri malahan bertindak pergi ke
Singapura untuk bercuti serta menyambut raya di sana sebelum ini.
Walau bagaimanapun, persengketaan dua beranak ini sudah
kembali jernih apabila Nabila telah pulang beraya bersama bapanya pada Isnin lalu dan perkara itu dikongsi oleh
Amy Search dengan memuatnaik gambar mereka sekeluarga di Instagram dengan satu
status syukur kerana hubungan dia serta anaknya sudah kembali pulih.