Anak Muda Jangan Mudah Lupa Perkara Ini...

Tasek Gelugor - “Anak muda jangan alpa kerana sejarah boleh berulang,” kata pesara polis SC (Special Constabel), Othman Itam, 79, yang pernah bertempur dengan pengganas komunis pada 1956.

Othman dari Guar Kepayang, Sungai Dua, dekat sini berkata, walaupun menyertai pasukan keselamatan berkenaan selama lima tahun bermula 1955, peristiwa bertempur dengan pengganas komunis dalam ladang getah di Gelang Patah, Johor tidak pernah dilupakan.

Beliau berkata, kesusahan hidup ketika zaman peperangan dengan komunis menyebabkan kemerdekaan amat bermakna buat dirinya.

“Saya masih ingat pengalaman bersama 11 rakan bertempur dengan pengganas komunis pada 1956 selepas menemui khemah mereka ketika operasi di ladang getah di Gelang Patah.

“Kami bertempur selama 30 minit dengan empat pengganas komunis sebelum seorang daripada mereka terbunuh.

“Walaupun saya dan rakan tidak mengalami kecederaan, kenangan itu terpahat di hati dan masih segar sehingga hari ini,” katanya.

Othman berkata, anak muda hari ini dilihat kurang bersemangat menyambut kemerdekaan negara kerana tidak pernah mengalami keperitan ketika zaman perang seperti dialami kebanyakan generasi warga emas terutama bekas tentera dan polis.

"Kami berjuang untuk negara dan kemerdekaan pada 1957 amat bermakna buat kami.

"Kepada anak muda, jangan mudah lupa kerana sejarah boleh berulang,” katanya selepas menerima sumbangan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Muhamad Yusoff Mohd Noor di Sungai Dua, kelmarin.

Othman antara enam ‘Wira Tak Didendang’ yang diraikan sempena Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2014 peringkat Daerah Seberang Perai Utara membabitkan 14 kenderaan Jabatan Penerangan Pulau Pinang.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Ishak Abdullah berkata, selain berkonvoi, pihaknya turut memberi sumbangan kepada ‘Wira Tak Didendang’ iaitu bekas tentera dan polis yang pernah berjasa kepada negara.

“Konvoi yang bermula di Sungai Dua bergerak ke Sungai Puyu, Bagan Ajam, Padang Cempedak, Taman Koskam, Paya Keladi dan berakhir di Rumah Sejarah Kepala Batas.

“Konvoi ini bertujuan menyemarakkan kembali semangat kemerdekaan negara terutama dalam kalangan generasi muda,” katanya. -myMetro