Anwar Tersepit, Gugur Wan Azizah, Lantik Azmin Sebagai MB Baru?


Kuala Lumpur - Ketua Umum Pakatan Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berada dalam keadaan dilema kerana terpaksa menolak isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai penganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan bersetuju melantik anak didiknya, Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

Dalam satu Mensyuarat Biro Politik Khas PKR yang telah diadakan pada malam Ahad, Abdul Khalid yang enggan melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor dikatakan hanya akan mengundur diri sekiranya kesemua pemimpin tertinggi  parti dalam PKR bersetuju melantik Wan Azizah untuk mengambil alih jawatan tersebut tetapi ditolak oleh Pas.

Menurut sumber dalaman PKR, keenganan Pas menerima Presiden PKR  sebagai Menteri Besar yang baru menyebabkan Anwar terpaksa memilih Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali sebagai calon yang paling sesuai memegang jawatan tersebut walaupun sebelum ini dia sendiri  menolak pencalonan ‘anak didiknya’ itu.

"Anwar sebelum ini telah terpaksa menolak cadangan menamakan Azmin sebagai MB atas permintaan Khalid. Akan tetapi apabila keadaan celaru begini, Anwar memerlukan Azmin," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini.

Pas sebelum ini menyuarakan sokongan terhadap Abdul Khalid untuk terus kekal sebagai Menteri Besar Selangor dan pendirian parti ini telah mencetuskan pergolakkan dalam PKR kerana DAP ingin jawatan tersebut diterajui oleh Wan Azizah.

Tambah sumber, dalam mensyuarat MPP yang lalu, Wan Azizah dipilih sebagai calon Menteri Besar dilakukan tanpa melalui proses pengundian kerana pencalon tersebut dilakukan oleh Anwar tanpa mengambil persetujuan daripada ahli PKR yang lain.

"Anwar sendiri tidak mahu menerima cadangan nama lain termasuk‎ cadangan daripada MPN Selangor yang mencalonkan Pengerusinya, Mohamed Azmin Ali," katanya lagi.

Jelas sumber itu lagi, Azmin yang baru pulang daripada Umrah sehari sebelum Aidilfitri merupakan calon yang paling sesuai menjawat jawatan itu kerana menerima banyak sokongan daripada para pemimpin tertinggi PKR termasuk PAS serta DAP walaupun tidak dipersetujui oleh Abdul Khalid.

"Pemilihan Azmin ini dikatakan setelah mendapat 'lampu hijau' daripada DAP dan juga memenuhi kehendak PAS untuk calon MB selain daripada wanita. Azmin juga menerima sokongan majoriti Pengerusi - Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR yang telah disampaikan kepada Anwar.

"Antara negeri yang dikatakan memberikan sokongan penuh kepada Azmin sebagai calon MB adalah Pengerusi MPN Perlis, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Sarawak," ujarnya. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor