Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini membangkitkan
persoalan situasi yang akan berlaku sekiranya PKR yang kini sedang
berhadapan krisis menteri besar Selangor mentadbir Malaysia.
Melalui laman sosial Facebook DrMAZA.com miliknya, Asri yang kini
berada di London berkata, pertanyaan berkenaan adalah persoalan yang
bermain dalam fikiran rakyat biasa.
“Saya di London sudah hampir tiga minggu. Saya hanya ikuti perkembangan politik dari Internet.
“Maaf, saya hanya tertanya diri saya: jika PKR yang seperti dalam
keadaan sekarang menguasai negara apa akan terjadi?”, kata Asri, di
laman media sosial itu awal pagi tadi.
Beliau kemudiannya berkata, pengikut PKR tidak seharusnya marah
dengan pertanyaan beliau, memandangkan ia adalah hak demokrasi setiap
rakyat di negara ini.
“Maaf ahli-ahli PKR ini soalan yang melintas dalam fikiran seorang rakyat marhaen.
“Jangan marah. Kita negara demokrasi, hak rakyat untuk berfikir dan bertanya,” katanya.
Status Facebook berkenaan setakat ini menerima 9,473 ‘Likes’ dengan lebih 1,100 komen dan 425 perkongsian.
Selangor kini berhadapan krisis untuk menukar Menteri Besar Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim kerana dikatakan sering membelakangkan parti dalam
membuat keputusan.
PKR memutuskan untuk menggantikan beliau dengan Presiden PKR Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri kepada Ketua Umum PKR
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dr Wan Azizah dikatakan menerima sokongan majoriti 30 ahli Dewan
Undangan Negeri (Adun) Selangor dari PKR dan DAP, dengan dua lagi Adun
PAS yang menandatangani Akuan Bersumpah (SD).
Khalid yang kini merupakan menteri besar dari blok Bebas mentadbir
Selangor bersama empat anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco)
PAS.
Beliau dijangka bertemu Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah
esok bagi membincangkan kedudukannya sebagai menteri besar selepas PAS
menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah untuk menjadi menteri besar.
Parti Islam itu sebelum ini menamakan Timbalan Presiden PKR Mohamed
Azmin Ali selain Dr Wan Azizah, untuk menjadi menteri besar, namun Azmin
menolak pencalonan tersebut. – The Malaysian Insider.