Aqsa Syarif amat kesal dengan apa yang berlaku di McDonald’s
Dungun hari ini (5 Ogos 2014).
Perbuatan sekumpulan orang yang
mengganggu premis McDonald’s, membaling objek keras serta menggoncang
pintu kedai amat dikesali. Perbuatan seperti ini tidak wajar dibiarkan
begitu sahaja kerana ia bertentangan dengan tata susila, akhlak Islam
dan lunas undang undang.
Sungguhpun boikot adalah hak pengguna melakukan tindakan sivil untuk
mengenakan tekanan, namun ia tidak mewajarkan tindakan secara fizikal
mahu pun lisan untuk menakut-nakutkan serta mendatangkan kecederaan
batang tubuh atau emosi kepada pemilik premis dan pekerjanya.
Aqsa Syarif memohon orang ramai yang menyokong kempen boikot supaya
mengawal diri dan tidak melanggar batas undang-undang dalam menjayakan
kempen. Tindakan liar dan melampau tidak tergolong sebagai menyokong
inisiatif boikot. Ia sebaliknya lebih mirip kepada perbuatan merosakkan
harta benda awam (vandalisme).
Aqsa Syarif menyarankan orang ramai untuk menghubungi pihak polis
jika perbuatan ganas seperti ini berulang lagi. Untuk mengelak perkara
seperti ini diulangi oleh pihak tidak bertanggungjawab maka Aqsa Syarif
menasihatkan agar tidak diadakan sebarang bentuk demonstrasi atau
perhimpunan di hadapan atau berhampiran mana-mana premis McDonald’s.
Prof. Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi,
Aqsa Syarif Berhad.