Bayi Comel Mangsa Dera Akhirnya Hembus Nafas Terakhir



KUALA LUMPUR — Seorang bayi perempuan yang dipercayai menjadi mangsa dera meninggal dunia pagi tadi di Hospital Sungai Buloh dekat sini selepas tidak sedarkan diri sejak Khamis lepas.

Bapa saudaranya Mohd Helmi Zakaria berkata Nurain Damia Mohamad Naqiuddin yang berusia setahun dua bulan menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku di kepalanya selepas dimasukkan ke hospital dan berada dalam keadaan koma selama enam hari.
    
“Kini jenazah Nurain Damia sedang menjalani proses bedah siasat dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara petang ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sebelum ini dilaporkan seorang pengasuh ditahan selepas bayi yang dijaganya didakwa terjatuh dari kerusi di Flora Damansara, Petaling Jaya pada Khamis lepas.

Ibu mangsa kemudiannya membuat laporan polis selepas mengesyaki anaknya didera dan mendakwa sebelum ini terdapat kesan lebam pada badan bayinya.

Bayi berkenaan dimasukkan dan dirawat di Hospital Sungai Buloh pada Khamis lepas selepas tidak sedarkan diri dan disahkan doktor dia mengalami pendarahan otak akibat terjatuh.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Azmi Abu Kassim mengesahkan menerima laporan kematian Nurain Damia yang meninggal pada pukul 7 pagi tadi.– BERNAMA