Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua dalam kenyataannya mendedahkan soal pendirian PAS yang jelas bertentangan dengan kehendak DAP dan PKR itu menjadi soal pokok yang dibahaskan secara ringkas dalam agenda mesyuarat tergempar parti itu semalam.
"Apabila PAS enggan memenuhi janji, dan
berdegil untuk tidak menyokong presiden anggota gabungan kita sebagai MB
baru, mungkin tiba masanya untuk merenung dan berfikir mengenai tujuan
berterusan dan kewujudan pakatan ini." kata Tony yang dipetik dari Malaysiakini.
PAS seolah-olah dianggap sebagai "duri dalam daging" Pakatan Rakyat apabila dikatakan berdolak-dalih dalam pendiriannya berhubung isu yang menjejaskan nama baik gabungan tiga parti pembangkang itu.
Justeru, DAP merasakan tiba masanya untuk kedudukan Pakatan Rakyat dikaji semula sama ada wajar dibubar atau sebaliknya.
Meskipun tiada sebarang keputusan berkenaan perkara tersebut dibuat dalam mesyuarat tergempar DAP semalam, ia dilihat sebagai satu ugutan terhadap PAS untuk memenuhi kehendak DAP dan PKR berhubung "coup de tat" di Selangor itu.
Sebelum itu, PAS menyerahkan sepenuh kuasa kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memutuskan Menteri Besar yang baharu menggantikan penyandang sedia ada, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Pendirian tersebut jelas menimbulkan rasa tidak senang pada dua rakn sekutunya, DAP dan PKR, yang semahu-mahunya menegaskan jawatan Menteri Besar itu hanya layak diberikan kepada isteri Ketua Pembangkang sahaja. -KedahNews.com