Biar Puas Diaibkan Anwar, Khalid Tetap Ucap "Selamat Hari Lahir"...

Biarpun diasak bertubi-tubi, dituduh dan ditohmah oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim tetap memberikan ucapan selamat hari lahir kepada Anwar.

Hari ini merupakan sambutan hari ulangtahun kelahiran Anwar yang ke-67 yang mana bekas Timbalan Perdana Menteri itu dilahirkan pada 10 Ogos 1947.

Abdul Khalid memberikan ucapan berkenaan melalui akaun Twitter miliknya @Khalid_Ibrahim hari ini.

“Selamat menyambut ulang tahun kelahiran buat DS @anwaribrahim. Semoga dikurniakan umur yang panjang untuk istiqamah dengan agenda reformasi,” katanya dalam ucapan itu.

Tindakan beliau dilihat sebagai menghormati Anwar sebagai Ketua Umum PKR dan juga Ketua Pembangkang di dalam Parlimen, dan selain itu mengikuti nasihat yang diberikan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pada Majlis Solat Hajat Perdana di kediaman rasmi Abdul Khalid di Shah Alam Khamis lepas, beliau dalam ucapannya berkata Nik Abdul Aziz mahu beliau supaya tidak memalukan golongan hipokrit dan munafik dalam politik.

Nik Aziz berpesan supaya Abdul Khalid bersabar dan tidak melakukan sesuatu yang menjatuhkan musuhnya biarpun mereka sejahat mana sekalipun.

Dalam isu ini, individu yang dilihat sebagai hipokrit dan munafik ialah Anwar yang begitu kemaruk mahukan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Abdul Khalid.

Biarpun Anwar diketahui orang yang kuat memerangi isu nepotisme, tetapi beliau mengamalkannya sendiri dalam amalan politiknya dan hanya itu sudah cukup untuk membuktikan Anwar sebagai hipokrit.

Ucapan hari lahir itu betul-betul hadir selepas hari pemecatan beliau daripada menjadi ahli PKR yang dibuat lembaga disiplin parti itu semalam berikutan beliau ingkar dalam memberi laluan kepada Dr Wan Azizah.

Tweet berkenaan dilihat para penyokong Abdul Khalid sebagai tindakan yang paling profesional dalam politik khususnya dalam pakatan.

AnwarIbrahimKek_1

Sempena ulangtahun kelahiran, Anwar dilihat turut menerima persembahan kek dari Penasihat DAP Lim Kit Siang dan anaknya yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini. -Mynewshub.my