POKOK SENA - Penduduk Kampung Padang, Mukim Gajah Mati dekat sini
merayu kepada pihak berkuasa supaya dapat menangkap kera yang
berkeliaran di kampung itu hingga merosakkan hasil tanaman penduduk.
Penduduk mendakwa, kejadian berlaku sejak setahun lalu selepas pihak berkenaan datang dan menangkap haiwan itu,.
Masalah itu berkurangan beberapa tahun, tetapi kini berulang kembali hingga membimbangkan penduduk.
Morad Ichik, 84, berkata, sejak kera itu semakin banyak di kampung itu,
penduduk semakin bimbang dengan keselamatan mereka kerana takut
dicederakan.
Katanya, sehingga sekarang belum ada serangan terhadap penduduk di situ tetapi mereka bimbang perkara itu terjadi.
“Setiap hari penduduk tidak berani buka tingkap atau pintu rumah kerana
bimbang dimasuki haiwan itu. Kadang kala kera itu akan terjun ke atas
bumbung dari dahan pokok hingga menyebabkan penghuni rumah terkejut .
“Malah pernah beberapa kali haiwan itu bergaduh di hadapan rumah hingga
pengpenduduk bimbang kera naik minyak lalu menyerang penduduk,”
katanya.
Menurut Morad, pada waktu sekarang banyak hasil tanaman mereka seperti
buah-buahan telah dirosakkan kera hingga kadang kala pemiliknya tidak
sempat untuk memungut hasil.
Bagaimanapun, penduduk di situ lebih bimbang jika luar musim
buah-buahan kerana haiwan itu akan lebih bertindak liar dengan
merosakkan segala kelengkapan yang berada di luar rumah.
Ludin Abdullah, 76, pula berkata, kera di kawasan itu juga turut
merosakkan talian telefon dengan memanjat serta bergayut hingga
menyebabkan wayar telefon di rumahnya terputus. Akibat dari insiden itu,
dia terpaksa membuat laporan kepada Telekom Malaysia (TM) bagi
membaikinya semula.
Oleh itu, penduduk di situ berharap pihak berkuasa dapat turun padang
dan menangkap kera supaya tidak mengganggu kehidupan penduduk di kampung
itu lagi.
Sementara itu, menurut sumber dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar
dan Taman Negara (Perhilitan) ketika dihubungi berkata, penduduk Kampung
Padang berkenaan perlu membuat laporan terlebih dahulu sebelum
sebarang tindakan diambil selanjutnya. -Sinar Harian