KETIKA berbual dengan orang Pas mengenai politik Negeri Selangor, mereka berkata, “walau apa pun berlaku dalam PR, Pas takkan keluar, jika Pas keluar, Umno akan menang”.
Sama ada Pas mahu berada ataupun
keluar pakatan, itu hak mereka. Persoalannya, kenapa setiap kali memberikan
jawapan, mangsanya adalah Umno? Jahat sangatkah Umno ini?
Adakah kewujudan Pas selama ini
semata-mata kerana Umno? Bukanlah Pas wujud atas dasar prinsip dan
tanggungjawab mahu menegakkan Islam? Janganlah terlalu bermusuh dengan Umno,
tidak ada untungnya kepada Islam.
Kewujudan Hamas di Palestin pun
begitu, ditubuhkan atas dasar prinsip dan tanggungjawab. Yahudi Zionis boleh
datang dan pergi. Tetapi Hamas perlu wujud untuk mempertahankan Islam.
Saya tidak fikir Hamas wujud
kerana Yahudi Zionis semata-mata. Kita perlu jelas dalam hal ini. Apakah Pas
dan Hamas akan dibubarkan selepas tumbangnya Umno dan Yahudi Zionis?
Bertindaklah atas prinsip apa yang benar, apa yang salah, dari sudut kaca mata
agama.
Bukannya siapa benar, siapa
salah. Jika ada kebaikan Umno, terimalah hakikat. Begitu juga sebaliknya, jika
Umno salah, tegurlah dan lawanlah. Tetapi jangan terus wujudkan blaming
culture. Jangan kerana Umno, kita menjadi gelabah.
Musuh sebenar Pas adalah ultra
kiasu bukan Umno. Ultra kiasu awal-awal sudah menentang Islam dan perjuangan
Islam Pas. Mereka sudah memberikan amaran, jika Pas menerima Khalid (MB
Selangor) sebagai ahli parti, Pas adalah pengkhianat dan tidak bermaruah.
Apakah Pas tidak faham mesej ini?
Ultra kiasu kini bukan sahaja anti Islam, pada masa sama sangat bongkak dan
sombong. Tidak boleh dikritik langsung, serta-merta mereka mahu saman, seperti
yang berlaku kepada Ketua Pemuda Pas.
Sepatutnya Pas jawab, “ada aku
kisah, nak saman, samanlah”. Jangan bagi muka sangat kepada ultra kiasu. Mereka
sudah pijak kepala.
Pesta bogel baru-baru ini adalah
cabaran kepada Pas dan umat Islam. Ultra kiasu nampaknya tidak begitu serius
untuk memeranginya, kerana mereka adalah penyokong tegar hak asasi manusia,
seperti LGBT. Lagipun memakai pakaian pendek, ketat dan seksi sudah jadi
budaya, termasuk kita juga. Jika bogel itu dibenarkan, saya kira ramai yang
akan berbogel nanti, termasuk di jalanan.
Saya sangat teruja dengan
pemimpin di India. Sila baca berita bertajuk Indian minister calls for Goa
beach bikini ban lebih sebulan lalu. Menteri di sana mahu mengharamkan
pemakaian bikini kerana ia penyumbang kepada maksiat, cabul dan rogol.
Pemakaian seksi sebegini juga mahu diharamkan di pusat-pusat hiburan. Jika
negara India begitu berani mempertahankan jati dirinya, kenapa tidak kita?
Jangan biarkan ultra kiasu
bermaharajalela dengan program maksiatnya. Nanti akan turun bala daripada ALLAH
SWT. Sangat meloyakan apabila melihat pakaian pramugari tambang murah yang
begitu seksi, manakala pakaian pramugara, begitu menutup sekali. Dunia sudah
terbalik.
Justeru, Pas perlu sensitif
dengan isu sebegini. Ultra kiasu sudah tidak kenal halal haram. Misalnya, projek
penternakan babi bersepadu, bernilai RM100 juta yang masih belum dilaksanakan,
juga antara faktor utama mereka begitu marah kepada Khalid.
Saya bimbang, jika projek ini
dibenarkan, Selangor akan dikenali sebagai darul babi. Terlalu banyak ladang
babi di Selangor, selain Seberang Prai, Perak, Melaka dan Johor, yang telah
menimbulkan ketidakselesaan penduduk, terutamanya berhampiran kawasan orang
Islam.
Adakah kita sudah lupa virus
nipah (JE), yang telah mengorbankan nyawa manusia? Ultra kiasu ternak, yang
kena bahaya dan tempiasnya orang Islam.
Justeru, saya bersetuju dengan
idea Khalid, Kerajaan Selangor boleh terus ditadbir, walaupun hanya dengan empat
Exco Pas. Kerajaan Selangor boleh berjimat dengan mengurangkan exco. Sudah
tentu beban Pas bertambah. Baru buat kerja namanya.
Saya amat yakin, Pas, selepas
PRU13 bersetuju Adun PKR menjadi MB Selangor dahulu disebabkan Khalid yang
menjadi pilihan. Justeru, berkhidmatlah di bawah Khalid demi Selangor tercinta.
Tidak perlu menyalahkan Umno lagi.
Sumber : MyNewsHub.My