KUALA LUMPUR – Dalam mengecam keganasan rejim Zionis ke atas penduduk
Palestin khususnya di Gaza, rakyat Malaysia tidak terkecuali memainkan
peranan melalui tindakan memboikot produk-produk dan jenama yang
dikaitkan dengan Israel.
Bagaimanapun, mutakhir ini terdapat beberapa tindakan yang dilihat
keterlaluan oleh segelintir pihak yang memboikot termasuklah
merendah-rendahkan golongan yang tidak menyertai usaha mereka, serta ada
juga perlakuan buruk seperti memarahi dan meludah pekerja restoran yang
diboikot itu.
Timbul persoalan di manakah kewajaran perbuatan buruk seumpama itu
sedangkan tujuan asalnya adalah untuk bersama-sama membentuk solidariti
bagi membantu umat Islam di Gaza yang ditindas rejim Zionis.
“Perbuatan itu semua bertentangan dengan ajaran Islam. Sedangkan pada
zaman Rasulullah SAW juga berlaku urusan muamalat antara Nabi dan
golongan Yahudi meskipun baginda mengetahui niat golongan itu mahu
membunuh baginda,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ilmuan
Malaysia (Ilmu) Ahmad Fazrin Yahaya ketika dihubungi Bernama.
Katanya sehingga kini masih belum ada ketetapan bahawa tindakan
memboikot produk yang menyumbang kepada Zionis itu sebagai sesuatu yang
wajib dilaksanakan.
“Sebagai umat Islam, kita tidak diajar menzalimi orang atau membalas
kezaliman dengan kezaliman. Kekerasan hanya dibenarkan dalam
peperangan,” jelas Ahmad Fazrin.
Berita-berita ‘kurang enak’ mengenai usaha mengecam rejim Zionis kini
banyak menghiasi laman-laman media sosial semalam termasuklah
mengadakan ceramah di hadapan restoran makanan segera.
Selain itu, ada juga laporan mengenai tindakan seorang pemuda makan
makanan yang dibeli di luar dengan sengaja di dalam restoran berkaitan
sehinggalah kepada perbuatan meludah pekerja di sebuah kafe terkemuka
oleh individu-individu yang kononnya memperjuangkan nasib penduduk Gaza.
Ahmad Fazrin berkata usaha memboikot haruslah dilaksanakan secara
berilmu dan bukannya mengikut emosi atau sentimen, yang akhirnya
menjurus kepada perbuatan-perbuatan yang tersasar dari syariat Islam.
“Kalau nak boikot jangan sampai melampau. Kononnya nak tunjukkan kita
Islam tapi sebenarnya perlakuan zalim itu tidak jauh berbeza dengan
Zionis yang sedang membunuh anak-anak Palestin. Walaupun perbuatan kita
tidaklah sampai ke tahap itu,” katanya.
Pendakwah terkenal, Ustaz Hassan Mahmud Al-Hafiz pula berkata usaha
boikot boleh dilakukan bagi memberi pengajaran kepada pihak yang
menganiaya sesuatu pihak yang lain.
Bagaimanapun, katanya, setiap tindakan yang diambil itu haruslah
bersandarkan adab dan budi pekerti supaya tidak menyakiti orang yang
tidak bersalah.
“Buatlah ikut kemampuan. Tapi haruslah bersabar (dengan orang-orang
yang tidak mengikut usaha boikot). Apa yang ada sekarang ini telah lama
berakar umbi dalam masyarakat, dalam negara. Jadi mustahil untuk dibuang
serta-merta,” katanya.
Hassan turut menasihatkan golongan yang memilih jalan untuk memboikot
agar tidak menaruh syak wasangka kepada pihak-pihak lain yang tidak
menyertai usaha mereka.
“Cara menegur dan mengajak mereka juga tidak boleh dengan berkeras.
Hendak menegur kena ada adab dan caranya supaya boleh diterima.
Tunjukkanlah kemesraan, barulah berkesan,” katanya.
Serangan tentera Israel ke atas Gaza sejak 8 Julai lepas dilapor
mengorbankan lebih 1,800 nyawa setakat ini termasuk wanita dan
kanak-kanak, serta menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat
tinggal.
Sejajar dengan itu, gesaan memboikot produk-produk keluaran syarikat
yang menyokong kekejaman rejim Zionis dibuat beberapa badan bukan
kerajaan (NGO) negara ini bagi memberi tekanan kepada ekonomi negara
tersebut. – BERNAMA