Bermodalkan wajah perempuan cantik berpakaian kot kemas, iklan pinjaman ceti haram didakwa berleluasa sekitar Terminal Bas Shahab Perdana, Alor Setar.
Iklan ceti haram ini didapati kian menular dan tidak terkawal, meskipun operasi menurunkan banting dilakukan berulang kali.
Mereka menawarkan pinjaman tanpa penjamin dengan kadar faedah rendah dikhuatiri untuk menjerat orang awam agar membuat pinjaman.
Penduduk setempat, Lailatul Akma Rahim berkata ini adalah kaedah mudah meraih pinjaman kewangan terutama bagi individu terdesak, namun mereka yang terjebak boleh merana kerana hutang.
“Dengan gambar wanita seolah-olah pekerja profesional syarikat pinjaman terbabit, ia pasti mampu meyakinkan sebilangan individu untuk memohon pinjaman.
“Malah, melalui tawaran menarik diberikan kepada bakal peminjam, kita bimbang mereka tak mampu membuat penilaian sewajarnya mengenai status syarikat,” katanya yang dipetik dari laman Sinarharian.com.my.
Akma turut berkata, dia bimbang masih ada orang awam terpedaya dengan tawaran iklan sedemikian sebelum membuat pinjaman wang yang memudaratkan diri.
Bakal peminjam sewajarnya menyiasat secara teliti syarikat pinjaman wang, selain mendapatkan pandangan rakan sebelum membuat keputusan.
Manakala, Liah Taib, 65, berkata, banting iklan ceti haram itu dilihat memenuhi dahan pokok, tiang lampu, telefon elektrik di kawasan tersebut.
Katanya, ada iklan ceti haram dikesan ditampal sesuka hati pada papan tanda sehingga meninggalkan imej tidak baik.
"Kita mengharapkan banting iklan sedemikian diturunkan supaya tidak mempengaruhi peminjam, sekali gus mengelakkan sesiapapun menjadi mangsa," katanya. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com