DAP, PKR Mahu PAS Pulau Mesyuarat EXCO Di Selangor


Petaling Jaya, 13 Ogos – DAP dan PKR mahu empat orang ahli PAS yang merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) agar tidak menghadiri mesyuarat mingguan EXCO Selangor sebagai satu bantahan terhadap tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang telah memecat enam orang Exco dalam parti berkenaan.

Dalam satu sidang media khas di Pejabat Keadilan hari ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, dia telah meminta rakan sejawatnya daripada PAS, Dato’ Mustafa Ali menyampaikan perkara tersebut kepada pemimpin tertinggi parti itu supaya memulaukan mesyuarat itu.

"Saya sudah hubungi saudara Mustafa Ali, supaya maklumkan kepada kepemimpinan tertinggi PAS supaya memulaukan mesyuarat Exco sebagai tanda solidariti ke atas pemecatan semua Exco PKR dan DAP," katanya.

Semalam, Abdul Khalid telah bertindak menghantar surat pemecatan kepada enam orang Exco Selangor dari DAP dan PKR kerana cuba melemahkan pentadbirannya sebagai Menteri Besar Selangor.

Tiga Exco dari DAP yang telah dipecat ialah, Dato’ Teng Chang Khim, V Ganabatirau dan Ean Yong Hian Wah manalaka Exco PKR ialah Elizabeth Wong Keat Ping, Rodziah Ismail dan Dr Daroyah Alwi.

Dengan pemecatan keenam-enam EXCO itu, kerajaan pimpinan Abdul Khalid kini hanya tinggal empat orang Exco dari PAS. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor