ALOR SETAR - Dasar Perumahan Negeri Kedah (DPrNK) yang baharu akan
dikuat kuasa bermula Oktober ini selepas aspek meliputi pembayaran levi,
komposisi dan harga rumah diputuskan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan
Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan, Badrul Hisham Hashim berkata
DPrNK disediakan bagi mengemas kini dasar perumahan sedia ada yang
diguna pakai sejak 1985 dan hanya meliputi keperluan penyediaan Rumah
Kos Rendah (RKR) sahaja.
Beliau berkata matlamat utama pelaksanaan DPrNK adalah untuk
merealisasikan pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) yang merangkumi RKR di
Kedah dan keperluan lain yang berkaitan dengan skim perumahan di negeri
ini.
"Penambahbaikan dasar perumahan ini juga selaras dengan perkembangan
industri perumahan yang semakin berkembang selain fenomena kenaikan
harga jualan rumah semasa," katanya menjawab soalan Datuk Ir Phahrolrazi
Mohd Zawawi (Pas-Pengkalan Kundor).
Badrul Hisham berkata bagi mencapai dasar itu, mekanisme diwujudkan melalui Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah yang diberi peranan memantau pelaksanaannya agar dapat mencapai hasrat yang ditetapkan.
Badrul Hisham berkata bagi mencapai dasar itu, mekanisme diwujudkan melalui Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah yang diberi peranan memantau pelaksanaannya agar dapat mencapai hasrat yang ditetapkan.
"Selain itu, kita juga mengambil langkah dengan memberi pemakluman awal
mengenai dasar tersebut melalui taklimat kepada Pihak Berkuasa Tempatan
dan pemaju melalui Persatuan Pemaju-Pemaju Perumahan untuk membolehkan
mereka memberi penerangan dan penjelasan mengenai dasar tersebut kepada
pembeli," katanya.
Badrul Hisham berkata persediaan terhadap pelaksanaan dasar itu turut
mengambil kira pandangan Pihak Berkuasa Negeri Kedah yang ingin
memastikan setiap isi rumah tempatan memiliki sekurang-kurangnya sebuah
rumah berdasarkan kemampuan.
"Kerajaan Kedah menyasarkan pembinaan sebanyak 40,000 unit rumah kos
rendah di negeri ini dalam tempoh empat tahun akan datang. Berdasarkan
statistik sedia ada, permohonan bagi rumah kos rendah kini mencecah
40,000 pemohon.
"Rumah kos rendah ini kita akan bina di setiap daerah dan bandar
terutama di Alor Setar, Sungai Petani, Kulim dan Langkawi," katanya.
Selain itu, katanya, sebanyak 20,000 unit rumah dibina di bawah Program
Perumahan 1Malaysia juga mampu memenuhi permintaan rumah di kalangan
rakyat negeri ini. - Bernama