Dewan Orang Ramai 'Disalahguna' Pihak JKKK

Umi Kalsom (kanan) menunjuk pintu dewan orang ramai dan surau Kampung Masjid Lama yang
telah ditutup hingga menimbulkan masalah kepada penduduk

Ahli Pusat Islami, Blok Langgar, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kecewa dengan tindakan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Masjid Lama, Langgar kerana menutup dan menghalang peserta itu untuk bermesyuarat baru-baru ini.

Ketua Pusatnya, Umi Kalsom Ismail, berkata, akibat penutupan itu pihaknya terpaksa bermesyuarat di dewan Masjid Lepai.

Menurutnya, selama hampir 20 tahun ahli AIM menggunakan dewan itu untuk melakukan mesyuarat setiap minggu pada hari Rabu dari jam 10 hingga 11 pagi.

"Setiap bulan ahli AIM membayar RM20 bagi bayaran air dan elektrik dewan itu.

“Bagaimanapun sejak JKKK baru ini, dia menaikkan bayaran sehingga RM40 sebulan dan ini tidak wajar kerana kami hanya menggunakan seminggu sekali sahaja untuk bermesyuarat," katanya yang dipetik dari laman Sinarharian.com.my.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tetap bersetuju membayarnya kerana tiada tempat lagi untuk bermesyuarat.

“Malangnya, pada Rabu lalu kami dihalang untuk menggunakan dewan itu atas alasan tidak membayar wang untuk kegunaan dewan itu.

"Memang kami tidak menjelaskannya kerana terlewat membayarnya selama seminggu tetapi tindakan pihak berkenaan menutup dewan ini adalah tidak wajar. Sepatutnya beri notis kepada kami terlebih dahulu,” katanya lagi.

Umi Kalsom berkata, beliau berharap pihak berkenaan dapat menyelesaikan masalah itu supaya dewan berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang ramai.

JKKK kampung itu juga dikatakan menutup pintu pagar hingga sukarkan penduduk untuk masuk ke pintu hadapan dewan dan surau berhampiran.

Disamping, kepada sesiapa yang mahu melakukan solat terpaksa masuk melalui pintu belakang kerana pintu hadapan sentiasa dikunci.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Masjid Lama, Lepai, Aziz Md Hassan berkata, memang pihaknya terpaksa menutup pintu pagar dan dewan itu kerana pihak AIM tidak menggunakannya secara bijak dengan gagal menutup kipas dan lampu setiap kali ketika habis bermesyuarat.

Katanya, sebelum ini dewan itu tidak terurus dan kotor menyebabkan pihaknya terpaksa gotong-royong serta melakukan semula pendawaian dewan tersebut.

“Kami terpaksa menutup supaya ahli AIM lebih menghargai kemudahan yang ada di dalam dewan itu selain bimbang orang luar mudah menceroboh masuk ke dewan dengan menyalahgunakan segala kemudahan yang ada di dalam dewan dan surau itu.

“Bagaimanapun pihak kami sentiasa mengalu-alukan supaya ahli AIM dapat berbincang dengan kami terlebih dahulu agar dapat bermesyuarat kembali di situ dengan menggunakan segala kemudahan yang ada dengan sebaiknya,” katanya lagi. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com