Dewan Ulama PAS Mula ''Tunjuk Taring''?


Ketika PAS Pusat sedang menunggu laporan penuh berhubung tindakan dua Adun di Selangor yang menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar yang baru, gesaan tindakan diambil terhadap mereka berterusan.

Jika sebelum ini PAS Terengganu mendesak Adun Hulu Kelang, Saari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin dipecat, kini Dewan Ulama PAS Terengganu turut berbuat demikian.

Malah, desakan terhadap keduanya yang dianggap membelakangkan parti itu, merupakan usul dibentangkan Timbalan Ketuanya, Dr Abu Bakar Abdullah dalam Muktamar Dewan Ulama PAS Terengganu.

Menurutnya, siasatan perlu dijalankan dan jika didapati bersalah kedua-duanya perlu dipecat keahlian berdasarkan Perlembagaan PAS Fasal 82(6)(d).

“Dua Adun PAS itu bertindak membelakangi keputusan parti dalam isu Menteri Besar Selangor, selain mencabar parti dengan kesediaan untuk diambil apa-apa tindakan,” katanya di Markas Tarbiah PAS Kuala Terengganu di Kuala Ibai, di sini.

Selain tindakan terhadap dua Adun terbabit, Dewan Ulama PAS negeri turut meminta tindakan tatatertib diambil terhadap beberapa pemimpin PAS lain yang membelakangi adab berjemaah terutama dalam mengeluarkan kenyataan berhubung kontroversi Menteri Besar Selangor, baru-baru ini.

Jelasnya, dalam kalangan pemimpin PAS ada yang menyanggah presiden parti dengan menganggap kenyataan presiden bukan mewakili parti sebaliknya peribadi.

“Kedua, mereka mengkritik kenyataan presiden parti secara terbuka di khalayak ramai dan melalui media dengan mencabar parti serta kesediaan mereka diambil tindakan.

“Ketiga, mempertikaikan keputusan Majlis Syura Ulama yang merupakan badan tertinggi parti,” katanya yang dipetik dari laman Utaranews.com.

Beliau berkata, bagi kesalahan tersebut, mana-mana pemimpin yang didapati bersalah boleh diambil tindakan berdasarkan Perlembagaan PAS fasal 82 (6) (b) iaitu hak mereka dalam parti dilucutkan.

Usul itu kemudian, disokong dan diluluskan kesemua 64 perwakilan dari lapan kawasan Parlimen di negeri ini dalam Muktamar Dewan Ulama PAS Terengganu.

Minggu lalu, Saari dan Hasnul turut bersama-sama dalam sidang media dengan Wan Azizah serta 28 Adun Pakatan Rakyat lain menyokong Adun Kajang itu sebagai menteri besar dan menolak kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali dalam sidang media semalam mengesahkan sudah menerima laporan awal berhubung sokongan dua Adun itu kepada Wan Azizah dan kini menunggu laporan penuh sebelum memutuskan sebarang tindakan. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com