Dokumen 'Langkah Kajang': Rafizi Ramli Perlu Buat Laporan Polis, Bukan Salahkan UMNO


Beberapa blog telah mendedahkan dokumen berkenaan dengan ‘Langkah Kajang’ serta perancangan jahat oleh pihak PKR untuk memporak-porandakan negara ini demi mencapai maksud kepentingan politik peribadi mereka. 

Memetik semula laporan dari laman Klxpress.com.my, dokumen rahsia ini yang dikatakan disediakan oleh Rafizi Ramli selaku Pengarah Strategi PKR, meneliti segala gerak kerja parti tersebut secara subversif termasuk menjatuhkan ekonomi negara, meningkatkan bilangan pengangguran, meningkatkan kadar inflasi dan pelbagai lagi.

Namun begitu, Pengarah Komunikasi PKR, saudara Fahmi Fadzil tampil ke hadapan sebagai orang pertama untuk menafikan dokumen ini milik mereka. 

Rafizi Ramli pula, yang dikatakan penulis kepada dokumen ini membuat kenyataan beliau lewat hari ini melalui portal Free Malaysia Today. 

Di dalam artikel tersebut, beliau menafikan dokumen itu milik beliau serta menuduh pihak UMNO dan BN pula yang memalsukan dokumen sebegitu demi untuk memburukkan nama beliau dan partinya.

Sepatutnya, saudara Rafizi Ramli dengan sepantas mungkin membuat laporan polis mengenai perkara ini supaya kertas siasatan dapat dibuat segera. 

Begitu juga dengan kes tweet yang beliau dakwa sebagai palsu, sehingga kini belum lagi dibuat sebarang laporan kepada pihak polis ataupun SKMM. 

Sehingga kini, belum ada lagi mana-mana wakil dari PKR ataupun saudara Rafizi sendiri tampil ke hadapan untuk membuat laporan. 

Sekiranya beliau tegas menyatakan bahawa ini adalah dokumen palsu, beliau akan membuat laporan polis dengan segera agar individu yang ‘memalsukan’ dokumen ini dapat di bawa ke muka pengadilan.

Melainkan dokumen ini benar, dan siasatan polis akan mendedahkan lebih banyak lagi salah laku saudara Rafizi Ramli dan PKR. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com