Dua Adun PAS Ugut Tinggalkan Parti Jika Pas Enggan Sokong Isteri Anwar


Dua Ahli Undangan Negeri (ADUN) dari PAS,ADUN Hulu Klang, Saari Sungip dan ADUN Morib, Hasnul Baharudin bersedia untuk menjadi ‘pembelot’ dengan bertindak keluar daripada parti berkenaan sekiranya Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang masih enggan menerima Datin Seri Wan Azizah sebagai Menteri besar di Selangor.

Dalam satu sidang media di Pejabat Presiden Pakatan Keadilan Rakyat (PKR) semalam, dua orang ADUN daripada PAS tersebut menyatakan pendirian mereka untuk keluar daripada parti berkenaan adalah sebagai satu bantahan terhadap tindakan Majlis Syura PAS yang terus menyokong Tan Sri Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Tindakan kedua-dua ADUN tersebut jelas terpampar bahawa mereka lebih mengutamakan keinginan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meneruskan pengaruhnya dengan melantik sendiri Wan Azizah  sebagai Menteri Besar untuk menguasai Kerajaan Negeri Selangor sehingga mereka sanggup digelar pembelot dengan menentang Abdul Hadi yang selama ini menjadi pemimpin dalam parti PAS.

Kenyataan  tersebut dibuat ketika mereka menghadiri sidang media bersama 29 orang ADUN Selangor di Subang Jaya bagi menyokong Wan Azizah sebagai pemimpin yang paling layak menerajui kerajaan di Negeri Selangor.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyelar tindakan Abdul Khalid yang jelas menipu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu sokongan yang diterima dirinya untuk kekal menerajui Negeri Selangor oleh  ADUN melebihi jumlah majoriti.

Jelas Guan Eng lagi, kesemua 30 ADUN termasuk dua ADUN dari PAS telah menyatakan sokongan terhadap Pakatan Rakyat untuk memilih Wan Azizah sebagai calon yang paling sesuai mentadbir kerajaan di Selangor bagi menggantikan Abdul Khalid.

Sebelum ini, hanya Adun DAP dan PKR sahaja yang dilihat memberi sokongan terhadap isteri Anwar manakala PAS terus bertindak menyokong Abdul Khalid melalui Majlis Syura.

“Hari ini telah dibuktikan bahawa PR telah memperolehi majoriti sokongan dalam DUN Selangor dengan 30 ADUN menyokong.

“Kami ingin membuktikan hari ini bahawa Abdul Khalid telah menipu Tuanku kerana sebenarnya beliau tidak memiliki sokongan majoriti ADUN seperti yang diperkatakannya,” kata Guan Eng lagi.

Krisis Menteri Besar di Selangor jelas menunjukkan keadaan sebenar yang berlaku dalam ‘rumah tangga’ Pakatan Rakyat.

Gabungan tiga buah parti dalam Pakatan Rakyat pada awalnya dikatakan akan membantu rakyat di negara ini mendapat hak mereka sebagai penduduk di Malaysia tetapi kemelut di Selangor membuktikan terdapat seorang ‘kapten’ yang dilihat mempunyai agenda tersendiri bagi menguasai kerajaan di sana.

Apa yang dilakukan oleh dua ADUN PAS di Selangor dilihat satu tindakan yang jelas menunjukkan perjuangan mereka di dalam parti itu tidak sama seperti perjuangan yang selama ini dibawa oleh pemimpin-pemimpin terdahulu yang lebih mementing hubungan di antara ahli sendiri berbanding orang lain.

KedahNews.com sangat teruja menanti kenyataan daripada PAS berhubung keberanian dua ADUN mereka yang sangat berani menentang Presiden parti dan menyokong pemimpin yang dahulunya pernah menjadi musuh mereka.

Mungkinkah tindakan dua ADUN ini yang menyokong isteri Anwar akan menyelamatkan mereka daripada dihukum oleh PAS? Atau mungkin mereka sudah bersedia untuk keluar dari parti itu dan menyertai kem Anwar dalam PKR?


Sukar untuk KedahNews.com membuat kesimpulan tetapi apa yang pasti dua ADUN PAS ini berkemungkinan sudah bersedia untuk digelar ‘pembelot’ dan mempunyai ‘senjata’ yang kuat untuk mempertahankan diri mereka. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor