KUALA LUMPUR – Konflik politik antara parti PAS dan UMNO jika dibiar
berlanjutan hanya akan merugikan umat Islam di negara ini, kata Ketua
Umno bahagian Cheras Datuk Syed Ali Al-Habshee.
Katanya, sudah tiba masanya PAS bekerjasama dengan UMNO bagi
mengeratkan semula ukhuwah agar umat Islam menjadi kuat dan dihormati.
“Sekiranya kita berpecah belah, negara akan kucar kacir. Tengok apa
jadi dengan Palestin, kita tidak mahu anak cucu kita menderita sebegitu
suatu hari nanti.
“Kalau kita bersatu, kita akan dapat bersuara menjadi kuasa besar,”
katanya kepada Bernama selepas ditemu bual dalam rancangan ruang Bicara
bertajuk ‘Menteri Besar Selangor: Ada Siapa Kisah’ terbitan BernamaTV di
sini, Isnin.
Terdahulu, Syed Ali semasa ditemu bual dalam rancangan tersebut
berpendapat Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mementingkan
dirinya bagi mendapatkan kuasa untuk memerintah dan bukannya membela
rakyat.
“Saya hairan kenapa masih ada orang terikut-ikut dengan Anwar yang
suka mempergunakan individu lain untuk mencapai cita-cita peribadinya,”
katanya.
Syed Ali juga menyatakan Anwar jelas tidak menghormati Sultan
Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah apabila mengumumkan Anggota Dewan
Undangan Negeri (Adun) Kajang Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu walaupun belum mendapat
perkenan Sultan.
Sebelum ini, Anwar mengumumkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang
bermesyuarat bulan lepas menerima cadangan PKR untuk menggantikan Tan
Sri Abdul Khalid Ibrahim dan mencalonkan presiden parti itu yang juga
isterinya Wan Dr Azizah untuk mengisi jawatan itu.
Sementara itu, Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Lokman
Noor Adam berkata perlu ada wadah baharu bagi menyatukan PAS dan UMNO
agar Melayu terus kukuh memegang tampuk pemerintahan negara.
“Ahli PAS dan UMNO perlu bersatu mencari suatu mekanisme bagaimana
untuk bekerjasama dan menghargai antara satu sama lain,” katanya.
Jika kemelut antara kedua-dua parti berlarutan, Lokman Noor berkata DAP akan terus mengambil kesempatan mempergunakan Melayu khususnya generasi muda untuk memperjuangkan agenda politik mereka. – mStar Online