Seorang usahawan Melayu Kedah berpotensi besar untuk mencabar monopoli syarikat gergasi Unilever dan PNG dalam dunia perniagaan barang-barang keperluan harian pengguna dalam tempoh 10 tahun yang akan datang dengan jualan produk bernilai RM1 bilion setahun.
Pada tahun 2007, pengasas syarikat merangkap Pengarah Urusan Muslimah, Famiza Zulkifli mengorak langkah bersama dua orang ahli kimia, Masitah Muhammad dan Yong Rafidah, untuk menghasilkan produk penjagaan keperluan rumah, kosmetik dan sebagainya.
Bermula pada Julai 2006, Muslimah Manufacturing Sdn Bhd (Muslimah)
ketika itu hanya beroperasi kecil-kecilan di rumah bersama tiga orang kakitangan dengan menghasilkan satu produk sabun mandian atas jenama
syarikat lain sahaja.
Namun kini, siapa sangka syarikat milik seorang muslimah itu mampu menembusi pasaran antarabangsa dengan produk jenama sendiri, memiliki sebuah kilang berkembar di Halal Park, Sungai Petani, Kedah, dan bakal membina sebuah lagi kilang Muslimah di Port Louis, Mauritius!
Syarikat milik anak Melayu Islam itu juga telah berjaya memasarkan barangan mereka ke luar negara seperti Singapura, Mauritius, Indonesia, China, Jepun, Maldives dan Amerika Syarikat.
Bercakap mengenai faktor istimewa yang ada pada produk keluaran Muslimah, Famiza berkata, beliau yakin bahawa masyarakat dunia kini sememangnya yakin dan mahukan produk yang suci, halal, berkualiti, dan berteraskan Islam.
"Saya yakin kekuatannya terletak pada produk kami yang bersih, halal, kualiti setanding dengan produk terkenal. Orang ramai memang sukakan produk buatan Islam," katanya ketika ditemubual KedahNews.com.
Famiza juga menegaskan bahawa syarikatnya sangat menitik beratkan soal keselamatan pengguna dari sudut kandungan bahan di mana produk-produk yang dikeluarkan tidak menggunakan bahan merbahaya seperti hydroquinone, mercury dan sesetengah produk tanpa SLS, paraben, sulphate dan sebagainya.
"Kita gunakan semua bahan-bahan yang halal dan selamat.. itu penting dalam penjagaan standard kualiti produk kami. Kami tak pakai paraben, sls dan sebagainya", tegasnya.
Muslimah kini merupakan syarikat pengeluar produk barangan keperluan rumah yang memiliki kekuatan produk halal dan suci atas jenama MOFA seperti sabun pencuci pakaian, pencuci pinggan mangkuk, sabun mandian dalam bentuk cecair dan sebagainya.
Selain itu, syarikat itu juga turut memasarkan barangan penjagaan kulit, kosmetik dan produk penjagaan peribadi seperti pencuci muka, pelembab, set pencerahan kulit, shampu, deodoran, lulur badan dan banyak lagi atas jenama produk Muslimah sendiri.
Paling menarik, produk-produk tersebut memiliki kualiti yang setanding dengan produk-produk bertaraf antarabangsa yang terkenal, malah dijamin halal serta diiktiraf kesuciannya dari pelbagai agensi.
Barangan hasil keluaran syarikat itu telah mendapat pengiktirafan sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Good Manufacturing Practice (GMP) dari Kementerian Kesihatan, dan mutu produknya memenuhi ketetapan standard ISO 2001:2008, 5S dan menerima pencapaian 4 bintang dari SME Corporatrion.
Bagi mana-mana pihak yang berminat untuk mendapatkan barangan keluaran Muslimah, mereka boleh mendapatkannya dari para pengedar di seluruh negara, agen, stokis, premis-premis Halal seperti Az-Zain atau boleh diperoleh secara pembelian "online" di www.mofa.my.
Bagaimanapun, produk-produk Muslimah tidak dapat dipasarkan ke pasaraya-hyper atau pasaraya-pasaraya besar ekoran beberapa kekangan yang tidak dapat dielak buat masa sekarang. Namun menurut Famiza, syarikatnya sedang berusaha ke arah tersebut tidak lama lagi.
Menjelaskan sebab memilih barangan keperluan rumah, ibu tunggal kepada empat anak itu menjelaskan bahawa di Malaysia belum terdapat syarikat milik Melayu Muslim yang mengeluarkan barangan tersebut dan syarikatnya merupakan pemecah monopoli syarikat bukan Melayu Muslim.
"Kita fokus pada barangan keperluan rumah.. kalau kita lihat di supermarket, mana ada pengeluar produk Melayu Muslim.. semuanya multinasional, belum ada lagi produk Melayu Muslim," katanya.
Mengulas mengenai "tonik" yang memberikan suntikan semangat padanya, Famiza memberitahu bahawa jalinan ukhuwwah yang terhasil dari jaringan perniagaannya selama ini sangat membantu dan membakar semangatnya untuk terus maju ke hadapan.
"Melalui perniagaan ini, saya banyak buat kawan.. alhamdulillah.. ramai sangat. Saya bertemu ramai rakan.. good friends di dunia dan akhirat.. bukan dunia sahaja... semangat ukhuwwah yang tiada tolok bandingnya.
"Keduanya adalah anak-anak saya.. walaupun saya sibuk dengan kerjaya, alhamdulillah saya cuba untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak saya terutama dalam pendidikan. Tidak mudah untuk menjalankan perniagaan dan membesarkan anak-anak, namun dengan sokongan keluarga dan warga Muslimah Manufacturing, in shaa Allah boleh dilakukan.
"Tapi biasalah, dalam dunia perniagaan ini adakalanya kita difitnah dan sebagainya. Namun saya memandang positif terhadap dugaan Allah itu dan ia seolah-olah menjadi pembakar semangat pada saya untuk terus membuktikan kemampuan diri," kata Famiza penuh yakin.
Sebelum mengakhiri temubual bersama KedahNews.com, Pengarah Urusan Muslimah itu mahu dunia tahu bahawa meskipun berstatus ibu tunggal mereka tetap boleh melakukan keajaiban dan melakar kejayaan dalam segenap kehidupan mereka.
KedahNews.com mengucapkan ribuan tahniah kepada Famiza dan warga Muslimah, serta menegaskan bahawa kita sebagai umat Islam sudah tiba masanya untuk beralih arah menggunakan produk Melayu Muslim yang lebih diyakini dan setanding kualitinya dengan jenama terkenal dunia.
Lagipun, kami percaya bahawa dengan memberi sokongan terhadap produk-produk Melayu Muslim, kita secara tidak langsung akan membantu meningkatkan taraf ekonomi saudara seagama kita di mana zakat yang mereka berikan nanti turut dinikmati oleh saudara kita yang kurang bernasib baik.
Syabas KedahNews.com ucapkan kepada Muslimah Manufacturing Sdn Bhd dan semoga Allah membuka jalan yang terbaik bagi syarikat berkenaan memakmurkan bumi Jelapang Padi ini dengan produk-produk suci, halal dan bertaraf antarabangsa. In shaa Allah... -KedahNews.com