Emel Peribadi Menteri Kabinet Digodam Oleh Pihak Tidak Bertanggungjawab


Dato Mah Siew Keong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan bahawa emel peribadinya telah digodam oleh pihak yang tidak bertanggung jawab pagi ini.

Kenyataan itu dimaklumkan oleh Setiausaha akhbar Mah, M.Manimaran di Pejabatnya.

Menurut Manimaran, perkara itu dapat dikesan apabila satu emel palsu yang kononnya berasal dari emel berkenaan telah disebarkan kepada orang ramai. 

“Satu emel palsu berbentuk permohonan bantuan kewangan telah dihantar kepada semua alamat emel dalam akuan Menteri.

“Kandungan emel itu memohon penerima emel itu menyalurkan bantuan kewangan kepada Siew Keong untuk menyelamatkan diri daripada tunggakan bil penginapan hotel dan tiket penerbangan balik ke Malaysia dari Ukraine,” kata Manimaran yang dipetik dari laman Bernama.com

Manimaran turut menegaskan bahawa Pejabat Menteri tersebut telah menyatakan penafian akan kandungan yang ada di dalam emel tersebut dan turut memaklumkan bahawa menteri tersebut berada dalam keadaan yang selamat.

Mah menyeru agar semua pihak bertenang dan meminta orang ramai mengabaikan emel tersebut. 

“Pejabat YB Menteri telah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menangani masalah ini.

“Satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pukul 4 petang ini dan memohon polis mengambil tindakan susulan,” ujar Mah. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com