Penerbit dan pengarah terkenal, Ermma Fatima menafikan laporan bahawa
dia akan memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Badaruddin Azmi atau
lebih dikenali sebagai Bade.
Menurut Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad, 46, laporan
yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar mingguan baru-baru ini adalah satu fitnah
dan tidak benar.
"Fail cerai? Siapa yang kata? Saya sendiri tidak tahu
menahu mengenai perkara ini macam mana pula orang lain lebih tahu?
"Saya belum baca gosip berkenaan tetapi apa yang
ditulis itu tidak benar," katanya dipetik menerusi mStar Online ketika
dihubungi pada Ahad.
Dalam satu laporan yang dikeluarkan akhbar tersebut, Erma
dikatakan sedang mencari peguam yang sesuai bagi memfailkan penceraiannya
terhadap Bade kerana tertekan setelah suaminya itu berkahwin lagi dengan
pasangan Aida Abdullah.
Tambah akhbar itu lagi, tindakan pengarah tersebut
sebenarnya berkait rapat dengan kisah hidupnya yang kini bermadu selain isteri
terbaru Bade itu dilaporkan sedang hamil.
Merujuk kepada laporan berkenaan, Erma sekali lagi
menegaskan perkahwinannya bersama Bade tidak mempunyai sebarang masalah dan
enggan melayan gosip-gosip seperti itu.
"Saya tidak mahu komen panjang mengenai perkara ini dan
biarlah apa orang hendak kata," jelasnya lagi.
Pada Mac lalu, Erma mengakui telah memberi keizinan kepada
Bade untuk berkahwin dengan Aida dan meminta semua peminat mendoakan kebahagian
pasangan tersebut.
Erma dan Bade telah berkahwin sejak 24 tahun lalu dan
mempunyai lima orang anak angkat berusia 21 hingga 8 tahun. – KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor