Sebetulnya, Kedah memiliki ramai usahawan-usahawan niaga di kalangan Bumiputera yang menghasilkan pelbagai produk yang setanding dengan produk-produk berjenama besar untuk pengguna.
Namun atas beberapa faktor dan kekangan yang ada, ramai pengguna yang tidak tahu mengenai kewujudan produk anak-anak Kedah ini meskipun ia sudah bertahun-tahun beroperasi dan dipasarkan.
Mungkin kerana kekurangan informasi dan kurang arif mengenai saluran yang betul untuk mendapatkan bantuan, ramai usahawan-usahawan Melayu Kedah yang "mengeluh" seolah-olah mereka tidak dibantu oleh mana-mana pihak.
Akhirnya, ada di kalangan mereka yang goyah dan ada yang terpaksa bergolok bergadai. Malah ada di kalangan usahawan Melayu Kedah yang "tenggelam dipukul badai dunia perniagaan".
Persoalannya, apakah benar usahawan-usahawan Melayu Bumiputera beragama Islam di Kedah itu tidak dihiraukan oleh pihak kerajaan? Sedangkan kerajaan seperti sedia maklum memiliki pelbagai agensi, jabatan dan pertubuhan bagi membantu usahawan-usahawan tempatan ini.
Menurut Penolong Pengurus Bahagian Pembangunan Usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Syed Muhammad Ezwar Syed Zain, usahawan-usahawan Melayu dan Bumiputera di Kedah mempunyai lebih dari 30 saluran untuk mereka mendapatkan pelbagai bantuan perniagaan.
Pun begitu, ekoran informasi tidak sampai ke telinga mereka, ramai yang di kalangan usahawan di negeri ini yang tidak tahu mengenai pelbagai jenis bantuan yang layak untuk mereka dan boleh dipohon.
Misalnya, PKNK sendiri menawarkan kursus "Couching and Mentoring" di mana para pesertanya dipilih dari kalangan usahawan Melayu dan Bumiputera yang memenuhi syarat kriteria yang ditetapkan.
Menurut Syed Ezwar, seramai 20 peserta akan menjalani kursus itu selama 6 bulan dan mereka akan diberi pendedahan secara praktikal mengenai kaedah pengurusan perniagaan yang lebih sistematik, berkesan dan curahan ilmu perniagaan yang lebih realistik.
Selain itu, para peserta juga diberikan "tonik" bagi memperkukuh perniagaan mereka melalui strategi-strategi pemasaran yang berkesan dan saluran-saluran yang tepat untuk para usahawan Kedah mendapatkan suntikan modal dari pelbagai pihak termasuk permohonan dana atau geran perniagaan.
Lebih menarik, PKNK turut mendedahkan para peserta kursus dan usahawan Kedah kepada prospek perniagaan di peringkat antarabangsa melalui lawatan-lawatan perdagangan ke Dubai dan Rusia, serta merancang untuk ke China pada September ini.
Kos lawatan tersebut katanya dibiayai sebahagian kecilnya melalui skim subsidi bantuan dari PKNK dan selebihnya akan disediakan oleh pihak MATRADE yang menyalurkan dana dalam bentuk geran bagi para peserta program tersebut.
Untuk mengatasi masalah kekurangan informasi di kalangan usahawan Melayu Bumiputera di Kedah, Syed Ezwar memaklumkan bahawa pihak Kerajaan Negeri telah merancang untuk membina sebuah Pusat Pembangunan Usahawan Negeri Kedah (PUPUK) tidak lama lagi.
Selain itu, Syed Ezwar juga memberitahu pihaknya komited dalam membantu para usahawan dalam strategi pemasaran produk mereka melalui expo-expo, pameran-pameran, bengkel dan seminar yang diadakan, termasuk melalui kerjasama agensi Kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri.
Lebih penting lagi, program-program yang dijalankan oleh PKNK itu turut menjalin kerjasama erat dengan pembangunan produk-produk halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) bagi memelihara mutu produk usahawan.
Syed Ezwar turut mengaku bahawa strategi pemasaran melalui internet dan laman sosial seperti laman sesawang, blog, Facebook, Twitter dan sebagainya merupakan strategi pemasaran yang paling murah, namun berkesan untuk digunapakai oleh para usahawan di era teknologi maklumat ini.
Sebelum mengakhiri temubual bersama KedahNews.com, pegawai kanan PKNK yang berjiwa rakyat itu meluahkan rasa terujanya dengan cadangan penubuhan PUPUK yang dijangka bakal memberi manfaat besar bagi para usahawan dan mentransformasikan pembangunan landskap ekonomi negeri Kedah ke arah yang lebih mapan. -KedahNews.com