Exco PKR - DAP Anggap Khalid "MB Sementara", Tiada Kuasa



Enam Exco Selangor daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tidak segan-segan mengumumkan pendirian mereka untuk mempertahan jawatan Exco Kerajaan Negeri yang disandang dengan enggan meletak jawatan.

Sebaliknya, mereka menegaskan akan terus bertugas seperti biasa meskipun tidak lagi menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Dalam satu kenyataan media bersama semalam, mereka turut menegaskan akan berperanan sebagai Exco Kerajaan Negeri sehingga seorang Menteri Besar baharu daripada pakatan pembangkang dilantik untuk menggantikan Abdul Khalid yang sedang cuba digulingkan.

"Sebagai menghormati kehendak rakyat dan titah DYMM Tuanku Sultan Selangor tersebut, kami akan terus menjalankan tugas harian sehinggalah seorang Menteri Besar baru dari Pakatan Rakyat dilantik untuk menggantikan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim," kata mereka.

Bagi mereka, meskipun kekal sebagai Exco dibawah Khalid, namun beliau hanya dianggap sebagai "Menteri Besar sementara" sahaja.

"Kedudukan dan fungsi YAB Tan Sri Khalid Ibrahim hanyalah dalam kapasiti peralihan sementara menunggu seorang Menteri Besar dari Pakatan Rakyat dilantik" kata kenyataan tersebut.


Lebih hangat lagi, Exco dari PKR dan DAP itu selamba melarang sama sekali Menteri Besar atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk membuat sebarang keputusan kecuali melalui proses undian.

"YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak boleh membuat sebarang keputusan tanpa melalui proses undian. 

"Sebarang keputusan MMKN perlulah diundi supaya fungsi YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dihadkan kepada kapasiti peralihan," kata exco PKR dan DAP itu lagi.

Exco daripada PAS hari ini pula memaklumkan telah berbincang dengan Abdul Khalid cara untuk menguruskan pentadbiran Selangor tanpa exco DAP dan PKR.

Abdul Khalid semalam menyarankan mana-mana Exco yang tidak menyokong beliau supaya meletakkan jawatan memandangkan beliau telah mendapat perkenan Sultan Selangor untuk menjadi Menteri Besar negeri itu.

Berikut adalah kenyataan penuh Exco Kerajaan Negeri Selangor dari PKR dan DAP itu:
KENYATAAN MEDIA

PARTI KEADILAN RAKYAT & PARTI TINDAKAN DEMOKRATIK

SEMUA KEPUTUSAN MELALUI PROSES UNDIAN DALAM MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI (MMKN)

Kami ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN atau EXCO) dari KEADILAN dan DAP menghormati perkenan DYMM Tuanku Sultan Selangor bahawa YAB Tan Sri Khalid Ibrahim meneruskan tugas sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor dalam suasana sekarang.

Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, KEADILAN dan DAP akan menggunakan kaedah yang menepati Undang-undang Tubuh Negeri dan enakmen yang berkenaan untuk mengembalikan tampuk pemerintahan Kerajaan Selangor kepada Pakatan Rakyat yang dipilih oleh rakyat.

Sebagai menghormati kehendak rakyat dan titah DYMM Tuanku Sultan Selangor tersebut, kami akan terus menjalankan tugas harian sehinggalah seorang Menteri Besar baru dari Pakatan Rakyat dilantik untuk menggantikan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim.

Dalam tempoh peralihan ini, urusan yang melibatkan kami, anggota EXCO dari KEADILAN dan DAP adalah mengikut mandat yang telah ditetapkan oleh parti seperti berikut:

1. Kedudukan dan fungsi YAB Tan Sri Khalid Ibrahim hanyalah dalam kapasiti peralihan sementara menunggu seorang Menteri Besar dari Pakatan Rakyat dilantik;

2. YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak boleh membuat sebarang keputusan tanpa melalui proses undian. Sebarang keputusan MMKN perlulah diundi supaya fungsi YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dihadkan kepada kapasiti peralihan; dan

3. Kami, ahli EXCO dari KEADILAN dan DAP tidak akan berjumpa dengan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim (kecuali di mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) untuk mengelakkan sebarang perbincangan mengenai kedudukan parti masing-masing
Perkara-perkara diatas akan dilaksanakan serta merta.

Kami akan terus menjalankan tugas mengikut mandat yang diberikan kepada Pakatan Rakyat sementara perkara ini diselesaikan secara baik dan seorang Menteri Besar dari Pakatan Rakyat mengambil alih dalam masa terdekat.

DATO’ TENG CHANG KHIM Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian & Penyelidikan

PUAN RODZIAH BINTI ISMAIL Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan Dan Hal Ehwal Wanita

SAUDARA EAN YONG HIAN WAH Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Pembangunan Kampung Baharu, Pemutihan Kilang Haram

PUAN WONG KEAT PING Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna Dan Alam Sekitar

PUAN DR. DAROYAH BINTI ALWI Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi & Inovasi

SAUDARA GANABATIRAU A/L VERAMAN Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang, Kemiskinan Dan Kerajaan Prihatin

12 Ogos 2014