APABILA berbicara mengenai laman
media sosial, Facebook adalah antara rangkaian media sosial paling popular di
kalangan pengguna laman maya terutamanya bagi mereka yang 'aktif' berinteraksi
menerusi Internet.
Menurut laporan media tempatan,
Malaysia telah dikenali sebagai pengguna Facebook ke-18 tertinggi di dunia
berdasarkan 15 juta pengguna laman sosial yang diasaskan Mark Zuckerberg itu.
Namun mutakhir ini, laman sosial
itu disalahgunakan berikutan wujudnya beberapa kes penghinaan di Facebook
terhadap isu-isu sensitif rakyat negara ini khususnya hal-hal agama dan kaum,
termasuk menghina Yang di-Pertuan Agong.
Jumaat lepas, Menteri Komunikasi
dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kerajaan setakat ini
menerima 2,000 laporan melibatkan penyalahgunaan Facebook.
Sehubungan itu, kementerian akan
menjalankan kajian bagi mendapatkan maklum balas orang ramai berhubung tindakan
yang perlu diambil termasuk kewajaran menutup laman sosial berkenaan.
JEJAS PENIAGA ONLINE
Ekoran pandangan berkenaan,
banyak pihak mempertikaikan akan kewajaran menutup Facebook. Kerajaan sendiri,
menurut Ahmad Shabery tidak berhasrat berbuat demikian memandangkan ia agak
mustahil kerana terdapat sejumlah 15 juta akaun pengguna di Malaysia dengan
sebahagiannya selesa berniaga secara dalam talian, berinteraksi dengan keluarga
dan berkomunikasi dengan rakan taulan.
Mengupas hal berkaitan, Presiden
Persatuan Usahawan Internet Malaysia (PUIM) Mohd Azrul Mohd Nor berkata
cadangan untuk menutup laman sosial Facebook adalah kurang bijak.
Beliau berkata cadangan itu bukan
hanya akan menjejaskan individu yang terlibat dalam perniagaan dalam talian
malah sebilangan besar kos pengurusan, pembelajaran, operasi pemasaran
sekaligus menyebabkan mereka kehilangan pelanggan tetap.
"Berdasarkan data persatuan
85 peratus daripada peniaga bergantung kepada sumber utama iaitu 'fan page'
untuk menjual barangan, perkhidmatan dan produk mereka malah ada antara mereka
sudah bertahun-tahun lamanya menggunakan laman itu.
"Isu utama adalah
penyalahgunaan dan Facebook adalah 'tools' yang diterima pakai oleh hampir
seluruh dunia dan apabila berlaku penyalahgunaan ini, isunya bukan 'tools'
tetapi berpunca daripada individu itu sendiri," katanya kepada Bernama.
EKONOMI DIGITAL
Mengulas lanjut, Mohd Azrul
berkata kepelbagaian saluran komunikasi membuktikan negara sedang menuju ke
arah ekonomi digital ini adalah sejajar dengan perubahan keadaan semasa.
Sehubungan itu, beliau berkata
cadangan untuk menutup laman Facebook perlu dikaji dengan terperinci serta
mengambil kira kesan dan akibat kerana ia membabitkan banyak pihak.
"Menutup atau menyekat laman
tersebut bukanlah satu-satunya jalan terbaik sebaliknya pendekatan berhemah
seperti mendidik individu itu daripada melakukan kegiatan tidak berfaedah.
"Contohnya di China menutup
akses laman Facebook dan menggunakan enjin laman sosial sendiri namun apakah
jalan penyelesaiannya? kerana sehingga kini masih lagi maklumat lain boleh
disampaikan," katanya.
Mohd Azrul berkata lambakan
aplikasi-aplikasi seperti WhatsApp, WeChat, dan Twitter adalah kaedah yang
banyak diguna pakai oleh peniaga untuk berinteraksi secara terus bersama
pelanggan mereka.
"Ini tidak menunjukkan
bahawa dengan mempunyai medium komunikasi era baharu, ia sesuatu yang
buruk," katanya.
NILAI KEUSAHAWANAN
Dalam pada itu, beliau tidak
menafikan penyalahgunaan Internet misalnya seperti menabur fitnah sememangnya
tidak untuk mudah dilenyapkan namun masalah ini boleh dikurangkan dengan kerjasama
daripada pelbagai pihak.
Mohd Azrul turut berharap
kerajaan memperbanyakkan perbincangan bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan
persatuan yang menceburi bidang perniagaan melalui Internet agar membantu
golongan tersebut untuk terus maju ke tahap yang lebih tinggi.
"Sayang... jika fokus kepada
perkara negatif sahaja tetapi tidak memberi tumpuan kepada nilai keusahawanan
yang semakin 'hidup' daripada Internet dan khususnya laman sosial seperti
Facebook," katanya.
FACEBOOK BANTU PENIAGA
Sementara itu, seorang peniaga
dalam talian Nur Atikah Mohamed Ali Piah, 25, berkata laman Facebook merupakan
'ruang' yang banyak membantu peniaga-peniaga kecil untuk memulakan peniaga
tanpa mengeluarkan kos yang besar.
Beliau berkata peniaga merupakan
golongan yang paling merasakan kesannya jika laman sosial tersebut ditutup.
"Bagi peniaga online banyak
strategi pemasaran yang digunakan peniaga seperti Instagram dan blog akan
tetapi Facebook ini mempunyai paling ramai pengguna malah ia amat mudah.
"Laman Facebook juga amat
popular di kalangan pelajar yang ingin mencari duit poket sendiri dengan
berniaga melalui Internet," katanya.
Memulakan perniagaan dalam talian
sejak empat tahun lalu, beliau yang lebih mesra dengan panggilan Ieka berkata
sebagai seorang pengguna mereka perlu bijak dan beretika ketika menggunakan
laman media sosial untuk ke arah yang lebih baik.
"Jangan disebabkan 'nila
setitik, rosak susu sebelanga'. Hanya kerana salah seorang, peniaga seperti
kami terpaksa menerima tempiasnya," katanya.
Sumber : Sinar Harian