Jelas Faekah yang kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Selangor itu, PKR yang dikepalai Datuk Seri Anwar Ibrahim tegasnya gagal menguruskan krisis Menteri Besar Selangor terpesong dari konsep keadilan yang kononnya diperjuang selama ini.
"Saya penama dan nombor keahlian seperti di atas mengisytiharkan keluar daripada menjadi ahli PKR serta merta.
"Tindakan ini saya ambil kerana sudah hilang kepercayaan ke atas pucuk pimpinan parti yang ternyata gagal menangani isu berbangkit daripada kedudukan jawatan menteri besar Selangor secara berhemah dan menurut tatacara yang betul serta teratur.
"Cara dan tindakan yang dilakukan oleh pucuk pimpinan parti ke atas Khalid jelas terkeluar dan terpesong daripada nilai-nilai keadilan yang selama ini diperjuangkan oleh parti ini sejak ditubuhkan pada 4 April 1999," tegasnya dalam surat tersebut.
Faekah yang dilabel sebagai penyokong kuat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim itu menujukan surat tersebut kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, DAP dan PKR mengenepikan PAS dalam sidang akhbarnya yang mendesak Khalid supaya membuktikan bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor yang berpihak padanya.
Khalid menerima mandat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, untuk terus kekal sebagai Menteri Besar di negeri itu setelah berjaya meyakinkan pihak istana melalui sokongan empat orang Exco Kerajaan Negeri dari PAS.
PAS pula dilihat seolah-olah "disingkirkan" dari Pakatan Rakyat setelah memberi sokongan penuh kepada Khalid dalam isu krisis politik dalaman Selangor itu dan tidak gentar sekiranya "dipecat" keanggotaannya dari pakatan pembangkang tersebut.
Desas-desus mengatakan sikap PAS itu hanyalah "retorik politik semata-mata" dan parti itu dikhabarkan tidak berani keluar dari Pakatan Rakyat kerana takut hilang sokongan dari pengundi bukan Islam, khususnya kaum Cina DAP. -KedahNews.com